Dr Noor Hisham ‘Terasa’ Hati, Cecewa Dengan Penyokong Najib

DR Noor Hisham menyatakan kekecewaan beliau dengan tindakan penyokong Najib berkumpul tanpa mengamalkan penjarakan sosial di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah jelas terasa hati dan kecewa dengan kelakuan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak mengamalkan penjarakan sosial ketika berhimpun di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

“Sedih bila melihat keadaan begini tiada kawalan kendiri.

“Sudah terang lagi bersuluh setiap hari Kementerian Kesihatan mengingatkan rakyat Malaysia patuh kepada SOP (prosedur operasi standard) untuk penjarakan selamat sekurang-kurangnya satu meter, memakai pelitup separuh muka dan kerap cuci tangan,” ciapnya di Twitter.

Beliau memberi reaksi itu selepas seorang wakil rakyat dilaporkan bimbang berlaku kluster baharu susulan himpunan solidariti menyokong Najib di luar mahkamah, hari ini.

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh berkata, wabak itu masih menular dalam negara dan sebarang usaha pencegahan perlu dilakukan dengan berdisiplin.

“Terutamanya apabila hari ini kita dengar ada satu himpunan di mahkamah, kita bimbang berlaku kluster baharu akibat daripada satu perhimpunan yang tidak dikekang dan dikawal.

“Langkah pencegahan wajib diamalkan malahan lebih berdisiplin secara bersama bagi memastikan penularan ini benar-benar tamat. Kita tidak kalah, tetapi kita belum menang,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *