Kes Baharu Positif Covid-19 Di Penampang Jalani Rawatan Di Selangor

KOTA KINABALU: Kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan di Penampang semalam kini menjalani rawatan di hospital berpakar di Selangor.

Keputusan ujian RT-PCR pertama kes ini adalah negatif namun, ujian keduanya yang diambil pada hari ke-13 tempoh kuarantin disahkan positif.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, siasatan terhadap kes ini masih diteruskan  oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Penampang.

Sehingga kini sebanyak 142,939 ujian Covid-19 dijalankan di Sabah.

Beliau berkata, setakat ini masih terdapat 1,072 individu menjalani kuarantin di seluruh Sabah.

Daripada jumlah itu, 988 individu menjalani kuarantin di rumah dan 84 orang menjalani kuarantin di lapan pusat kuarantin yang diwartakan.

Menyentuh bilangan kes import A (jangkitan dari luar negara) Covid-19 di Sabah, sehingga semalam terdapat 20 kes import dilaporkan. Manakala, untuk kes import B iaitu jangkitan dari luar negeri Sabah pula adalah sebanyak 120 orang atau 31 peratus daripada keseluruhan 385 kes di Sabah.

Christina berkata, kes yang mendapat jangkitan dalam negeri atau kes tempatan pula adalah seramai 245 orang (64 peratus).

Menurutnya, selaras dengan arahan mengkehendaki individu baru balik dari luar negara menjalani kuarantin di pusat kuarantin, semua individu perlu mematuhi arahan sedemikian.

“Mereka yang pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin atau hotel ditetapkan selama 14 hari dan kos perlu ditanggung oleh individu tersebut.

Maklumat berkenaan kos boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi NADMA.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5798