Wakil Rakyat Sabah Tidak Mudah ‘Dipancing’ – Peter

KOTA MARUDU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony meletak keyakinan bahawa semua wakil rakyat Sabah mempunyai maruah yang tinggi dan tidak mudah ‘dipancing’ oleh mana-mana pihak.

Menteri Pembangunan Infrastruktur ini berkata, dakwaan bahawa kerajaan Sabah sudah tumbang sama sekali tidak benar.

“Kita menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan sebegini kerana kami wakil rakyat Sabah masih menyimpan kepercayaan yang tinggi terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal untuk terus mentadbir negeri ini.

“Beliau (Shafie) juga masih Ketua Menteri yang sah untuk memimpin kerajaan di peringkat negeri Sabah. Tuduhan-tuduhan pihak tidak bertanggungjawab sebegitu jangan didengar kerana ini pembohongan semata-mata.

“Untuk makluman, wakil rakyat Sabah tidak akan teragak-agak membuat laporan polis terhadap mana-mana pihak yang cuba mengelirukan rakyat dengan memancing kami untuk berpaling menyokong mereka,” katanya selepas lawatan ke beberapa tapak projek pembangunan infrastruktur, di sini hari ini.

Peter berkata, tindakan cuba membeli wakil rakyat untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Warisan tidak akan berlaku.

Mengenai lawatan itu, beliau berkata, terdapat beberapa projek pembangunan yang tergendala disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, beliau telah meminta jurutera daerah dari Jabatan Air Negeri Sabah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya memantau mutu pencapaian dan proses pelaksanaan projek. Ini bagi memastikan semua projek yang dilaksana dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Turut hadir dalam lawatan itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan yang juga Pembantu Menteri Luar Bandar, Rasinin Koutis dan ADUN Tandek Anita Baranting.-BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1573