KPM Belum Putuskan Cuti Khas Aidiladha

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon (dua, kiri) meninjau salah sebuah kelas semasa membuat lawatan pematuhan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda, Bayan Lepas di sini, hari ini. FOTO BERNAMA

GEORGETOWN: Kementerian Pendidikan (KPM) masih belum membuat keputusan mengenai cadangan pemberian cuti khas sempena Aidiladha yang jatuh pada minggu persekolahan berikutan perubahan Takwim Persekolahan 2020.

Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata KPM akan mengumumkan perkara itu kepada semua pihak jika terdapat sebarang keputusan mengenai keperluan untuk meminda cuti perayaan itu.

“Setakat ini, tiada perkembangan mengenai perkara berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda, Bayan Baru dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat beberapa pihak seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memohon KPM supaya mempertimbangkan semula tarikh cuti persekolahan sempena Aidiladha pada 31 Julai ini.

NUTP mencadangkan supaya diberi peruntukan cuti khas oleh KPM pada 30 Julai dan cuti pelepasan oleh Pejabat Pendaftar Negeri pada 29 Julai dan 3 Ogos ini sebagai memberi peluang kepada orang ramai menyambut perayaan itu di kampung halaman masing-masing.

Pengumuman takwim akademik yang baharu oleh KPM menyaksikan cuti sekolah bagi perayaan Aidiladha dipendekkan kepada dua hari iaitu pada 31 Julai dan 1 Ogos. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

834