KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melalui perutusan khas baru-baru ini mengumumkan kerajaan sedang mempertimbang untuk mewajibkan penggunaan pelitup muka di tempat awam sebagai usaha mengurangkan penularan wabak COVID-19.
Langkah ini terpaksa dilakukan kerana terdapat peningkatan kes jangkitan serta peningkatan bilangan kluster jangkitan COVID-19 dalam negara kita ketika ini.
Perkembangan terbaru ini sudah pasti membawa kebimbangan kepada ramai pihak serta pihak kerajaan.
Namun mewajibkan penggunaan pelitup muka sahaja dilihat masih belum memadai, sekiranya tiada langkah lain diambil bagi mengawal penularan virus itu dalam negara kita.
Antara langkah lain perlu diambil adalah dengan melakukan proses penjarakan sosial.
Perkembangan terbaru pasti membawa kebimbangan kepada banyak pihak. Perlu diketahui jumlah jangkitan kes COVID-19 masih meningkat dengan banyaknya di serata dunia pada masa ini.
Ketika ini juga, tiada vaksin atau penawar yang boleh digunakan bagi mengubati wabak COVID-19. Perang bagi melawan virus ini masih perlu diteruskan oleh semua pihak.
Penjarakan sosial penting dilakukan semua pihak supaya diri mereka tidak dijangkiti virus ini atau menjangkitkan orang lain dengan virus terbabit.
Ramai pakar perubatan di serata dunia menyarankan supaya orang ramai melakukan penjarakan sosial ini bagi memutuskan jangkitan penularan virus COVID-19.
Oleh itu, kerajaan perlu memberi pertimbangan bagi mewujudkan sebuah akta khusus memastikan pematuhan sepenuhnya saranan penjarakan sosial dalam kalangan orang ramai di negara kita bagi membendung penularan COVID-19.
Pihak kerajaan tidak boleh hanya mengharapkan orang ramai untuk melakukan penjarakan sosial dengan sendiri tanpa adanya sokongan daripada sebarang bentuk perundangan yang jelas terhadap saranan itu.
Ini kerana kemungkinan terdapat sesetengah pihak ingkar serta keliru terhadap saranan terhadap penjarakan sosial yang dibuat.
Kewujudan undang-undang khusus terhadap perkara ini boleh dikuatkuasakan buat sementara waktu sehingga vaksin atau penawar bagi mengubati COVID-19 ditemui kelak.
Memandangkan kerajaan sudah mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan membenarkan hampir semua sektor perniagaan, pekerjaan dan pendidikan mula beroperasi, perlu juga diambil langkah drastik memastikan orang ramai mengambil pendekatan sewajarnya bagi melindungi diri mereka daripada dijangkiti COVID-19 atau menyebarkannya kepada orang sekeliling.
Saranan kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) untuk orang ramai dalam negara kita melakukan penjarakan sosial adalah dialu-alukan, namun ia dibimbangi tidak membawa kesan selagi tidak disertai atau disandarkan dengan kuasa undang-undang.
Walaupun terdapat beberapa peruntukkan undang-undang boleh diguna pakai seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Kanun Keseksaan (Akta 574) dan lain-lain lagi, ia dilihat tidak mencukupi untuk memastikan orang ramai mematuhi saranan penjarakan sosial.
Ini kerana ia tidak menyatakan dengan jelas perkara berkaitan proses penjarakan sosial ini.
Oleh itu, dicadangkan kerajaan memberi pertimbangan serius untuk memperkenalkan sebuah kerangka undang-undang khusus bagi memastikan proses penjarakan sosial dalam negara dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan serius.
Tindakan hukuman juga lebih mudah dilakukan terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi saranan penjarakan sosial berkenaan.
Melalui peruntukan khusus undang-undang penjarakan sosial ini, kerajaan dapat merangka dengan lebih terperinci maksud penjarakan sosial itu sendiri serta jumlah jarak penjarakan sosial yang benar-benar diperlukan di semua kawasan dalam sektor tempat kerja dan perniagaan dalam negara.
Ini termasuklah di restoran, pusat beli belah, stesen minyak, bank, pejabat pos, sekolah, universiti dan lain-lain lagi.
Melalui peruntukan khusus itu juga, jumlah penjarakan sosial dapat ditentukan dengan lebih jelas dalam semua pengangkutan awam yang ada dalam negara seperti bas, teksi, transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), kereta api atau komuter dan kapal terbang.
Apa yang lebih penting, peruntukan undang-undang khusus ini akan membuka mata orang ramai terhadap saranan penjarakan sosial oleh kerajaan dan masyarakat lebih mengambil serius saranan itu.
Dr Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia