Lebih 10 Juta Terima Bantuan Prihatin Nasional

KUALA LUMPUR: Seramai 10.416 juta menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) setakat Isnin lalu membabitkan jumlah keseluruhan bayaran RM11.14 bilion, peningkatan daripada RM11.06 bilion minggu lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sebanyak RM125 juta pula dibayar kepada 146,000 penerima yang merayu.

Jumlah itu adalah daripada 160,000 perayu membabitkan peruntukan keseluruhan RM139 juta.

Katanya, selebihnya penerima yang gagal kredit dinasihatkan untuk ke Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk proses bayaran secara tunai.

“Bagi Bantuan Sara Hidup (BSH), seperti yang diumumkan kerajaan sebelum ini, pembayaran BSH fasa ketiga akan dilaksanakan mulai Jumaat ini.

“Peruntukan yang terbabit adalah sebanyak RM3 bilion dan memanfaatkan hampir 4.28 juta penerima BSH merangkumi 3.75 juta isi rumah dan 0.53 juta bujang (40-59 tahun).

“Kadar BSH yang akan diterima juga mengambil kira 3.8 juta anak penerima BSH berumur 18 tahun ke bawah,” katanya dalam Laporan LAKSANA Ke-14 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, bagi memastikan program BSH disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 7 Ogos ini hingga 6 September depan.

“Dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada yang tidak layak masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disahkan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian di portal BSH https://bsh.hasil.gov.my atau pemohon boleh hadir di Cawangan LHDN/ Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC),” katanya- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *