8 Lelaki Ditahan Ingkar Perintah Berkurung Di Semporna

SEMPORNA: Seramai lapan lelaki berusia antara 12 hingga 38 tahun ditahan polis selepas didakwa ingkar arahan perintah berkurung berhampiran Pulau Mataking, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau Superintenden Mohd. Yacob Murad berkata, semua suspek ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di situ pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

“Terdahulu sepasukan anggota polis sedang melakukan rondaan di selatan pulau berkenaan sebelum terserempak dengan dua bot yang sedang berlabuh.

“Curiga melihat keadaan itu, apatah lagi kejadian berlaku pada tengah malam, iaitu tempoh masa perintah berkurung dikuatkuasakan, anggota bertugas menghampiri bot tersebut untuk melakukan pemeriksaan,” katanya, hari ini.

Tambahnya, seramai enam lelaki berada di atas sebuah bot laju manakala dua individu lagi berada dalam bot pam berwarna merah.

“Hasil siasatan mendapati hanya dua daripada mereka adalah warga tempatan manakala selebihnya warga asing termasuk sebahagiannya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Sehubungan itu, semua suspek ditahan manakala bot, enjin dan peralatan memancing dirampas bagi membantu siasatan,” katanya.

Diangarkan jumlah keseluruhan rampasan bernilai lebih RM24,000.

Semua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

819