Penjenayah Ditahan Selepas Aksi Kejar Mengejar Lebih 30 Minit

Foto Ihsan Polis Daerah Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Lebih 30 minit. Itu tempoh aksi mengejar empat kenderaan peronda polis (MPV) terhadap sebuah kereta Proton Iswara sebelum berjaya menahan tiga lelaki yang disyaki pengedar dadah, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, ketiga-tiga lelaki berusia 21 hingga 44 tahun yang mempunyai belasan rekod jenayah itu berjaya ditahan di Jalan Lintas Khidmat, di sini.

Foto Ihsan Polis Daerah Kota Kinabalu

Difahamkan, ketiga-tiga suspek mula dikejar di Jalan Keleto, Inanam, sebelum melalui beberapa jalan utama termasuk Jalan Kingfisher dan jalan berhampiran Yayasan Sabah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kereta Proton Iswara berkenaan dipandu secara melulu sehingga membahayakan kebanyakan pengguna jalan raya di setiap laluan yang mereka lalui.

Katanya, ketiga-tiga suspek akhirnya berjaya ditahan selepas kenderaan mereka terbabas sebelum terhenti di Jalan Lintas Khidmat.

“Ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri termasuk bertindak ganas terhadap pasukan polis namun berjaya ditahan sejurus selepas itu.

Foto Ihsan Polis Daerah Kota Kinabalu

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui beberapa paket dadah yang di dalam kenderaan berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Habibi berkata, siasatan awal mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kegiatan samun, pecah rumah dan dadah.

Katanya, ketiga-tiga suspek adalah warga tempatan yang berasal dari Sandakan, Kudat dan Nabawan.

“Siasatan awal turut mendapati ketiga-tiga suspek masing-masing mempunyai 16, lapan dan tiga kes jenayah.

“Polis akan membuat siasatan lanjut bagi mengenalpasti sejauh mana pembabitan mereka dalam jenayah dadah,” katanya.

Habibi berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *