Ops Sarang: 122 Individu Ditahan Rampas 1.6KG Dadah Di Sandakan

SANDAKAN: Polis menahan seramai 122 individu dan merampas lebih 1.6 kilogram syabu sepanjang hampir tiga minggu Op Tapis dan Op Sarang dilancarkan di daerah ini.

Daripada jumlah itu, tiga lelaki ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan rampasan syabu sebanyak 1,610.92 gram.

Selebihnya ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), Seksyen 15(1) dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, selain Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985).

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata semua suspek ditahan susulan 63 operasi yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan sepanjang 1 hingga 19 Julai lalu.

“Kita sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik berterusan secara agresif ke atas pengedar dadah di daerah ini.

“Kerjasama daripada masyarakat dalam menyalurkan maklumat mengenai aktiviti dadah juga amat dihargai kerana ia membantu usaha polis membenteras masalah dadah,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1635