KOTA MARUDU: Mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap suku kaum Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) menyebabkan seorang warga Pakistan dikenakan hukuman di Mahkamah Anak Negeri, di sini hari ini.
Peniaga, Amir Ali Khan dikenakan hukuman membayar lapan ekor kerbau dan lapan agung pulanut (gong besi) atas enam kesalahan yang direkodkan dalam intipati rakaman audio yang tular sekitar Mei dan Jun lalu.
Hakim merangkap Ketua Daerah MAN Kota Marudu, Datuk Baintin Adun @ Abd Halim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan menghina kaum KDMR Sabah, khususnya Kota Marudu.
Antara kesalahan yang ditemui menerusi rakaman audio tersebut termasuk mengeluarkan kata-kata ancaman serta ayat berbaur lucah serta menimbulkan kemarahan masyarakat.
Beliau berkata, jika tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut dalam tempoh sebulan dari tarikh hari ini, beliau boleh dikenakan RM4,000 denda atau penjara 16 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Katanya, pihaknya menerima aduan wakil penduduk Kota Marudu pada 9 Jun lalu dan perbicaraan kes sepatutnya berlangsung pada 17 Jun.
Namun, tertuduh mendakwa mempunyai masalah kesihatan mental dan perbicaraan ditunda kepada hari ini.
Baintin turut menasihatkan tertuduh agar tidak menggunakan bangsa apabila ingin meluahkan kemarahan sebaliknya, fokus sahaja kepada individu tersebut.
Dalam rakaman audio yang tular itu, warga Pakistan berkenaan melahirkan kemarahan dan pertuduhan liar terhadap kaum KDMR yang didakwa bersikap prejudis terhadap warga Pakistan.
Difahamkan tertuduh turut mempunyai satu lagi kes di mahkamah.- BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost