Lebih 1,000 Geran Tanah Untuk Penduduk Ranau

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memberikan lebih 1,000 geran tanah kepada penduduk di Ranau yang telah menunggu sejak sekian lama.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memaklumkan perkara itu ketika merasmikan satu program di Ranau, Sabtu lalu.

Keperitan terpampang di wajah penduduk kampung selepas tanah yang diusahakan selama ini diambil oleh pihak lain.

“Saya sedia maklum dengan masalah berkaitan tanah yang dihadapi penduduk termasuk saya lihat (baca) sendiri di suratkhabar.

“Minggu lalu, saya serahkan kira-kira 2,300 geran tanah kepada penduduk di Keningau dan lepas ini saya berharap penduduk di Ranau pula tidak berasa bimbang kerana saya sudah sediakan lebih 1,000 geran tanah yang ditunggu sejak berpuluh tahun lalu oleh penduduk di daerah ini.

“Saya berharap penduduk kampung terbabit tidak berasa bimbang sangat kerana kerajaan negeri berusaha memberi pelbagai bantuan, bukan saja dalam aspek baja atau kewangan tetapi juga tanah,” katanya.

Mengulas lanjut,  Mohd Shafie berkata beliau sudah memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, untuk menyelesaikan masalah ini (tanah) sebaik mungkin.

“Ini kerana beliau adalah pakar dalam tanah (bekas Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur). Kita akan selesaikan sebaik mungkin. Mana-mana kampung yang sudah diwartakan (gazet) sebagai hutan simpan, kita akan pastikan mereka adalah penduduk asal di situ.

Penduduk kampung menuntut agar tanah yang diusahakan sejak sekian lama dikembalikan.

“Saya juga berharap tanah yang diberikan kepada penduduk akan dimanfaatkan sebaiknya, termasuk untuk pembangunan pertanian,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, kira-kira 40 penduduk dari Kampung Malindau, Wayan dan Sinurai di Ranau, merayu kepada Ketua Menteri agar campur tangan dalam kes pertikaian tanah yang mereka hadapi.

Jurucakap penduduk kampung terbabit, Kandingau Kaling, 80, berharap isu itu boleh diselesaikan sebaiknya agar generasi baharu di kampung itu tidak mewarisi kesengsaraan mereka.

Kandingau percaya campur tangan ketua menteri boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi lebih 40 tahun lalu seperti selesainya kes di Bagahak.

Mereka mendakwa hanya tahu geran tanah telah dikeluarkan ketika wakil pekerja syarikat datang ke Kampung Sinurai pada 2013.

Kes itu telah dibawa ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Julai lalu melalui peguam mereka, Nelson Angang terhadap Worthy Palm Sdn Bhd; Zikri Ajad,Pengarah JTU, kerajaan negeri dan penolong pemungut hasil tanah (PPHT).

Bersempena kehadiran Ketua Menteri di Ranau, penduduk di kampung tersebut mengambil kesempatan berjumpa dengan beliau untuk menyuarakan tentang masalah itu.

Langkah tersebut tersebut ternyata berjaya menarik perhatian Mohd. Shafie yang selama ini telah menyerahkan banyak geran tanah kepada rakyat.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2705