COVID-19: Kes Baharu Di Putatan Ditempatkan Di ICU

KOTA KINABALU: Kes baharu COVID-19 yang dikesan di Putatan hari ini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana berada dalam keadaan tenat.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, kes yang dikategorikan sebagai jangkitan tempatan ini mendapatkan Rawatan di Klinik Kesihatan Putatan dalam keadaan tenat sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Beliau berkata, pengesanan kontak terhadap pesanan warga tempatan ini telah dikenal pasti dan kesemua kontak dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19.

Pertambahan kes baharu di Putatan ini menjadikan kes Covid-19 di Sabah meningkat kepada 382 kes.

Sehingga kini, sebanyak empat kes aktif dilaporkan masing-masing satu di Tuaran, Sandakan, Putatan dan Nabawan.

Bilangan kumulatif kes pulih adalah seramai 371 kes dan kes kematian kekal dengan tujuh kes.

Menurutnya, bilangan individu yang masih menjalani kuarantin di Sabah adalah seramai 1,013 orang dimana, 38 orang menjalani kuarantin di tujuh pusat kuarantin seluruh Sabah dan 975 orang menjalani perintah kuarantin 14 hari di rumah.

Christina berkata, sejak beberapa hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaporkan peningkatan kes tempatan dan import.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan mematuhi saranan KKM untuk mengamalkan penjarakan sosial dan patuhi 3S (sesak, sempit dan sembang dekat) serta 3W (cuci, pakai dan amaran).- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

15440