Dua Lelaki Tempatan Cuba Seludup PATI Guna Van Sekolah Ditahan

PATI yang ditahan di Kilometer 21, Jalan Kalabakan-Keningau, Kalabakan, petang semalam. Gambar ihsan PGA

TAWAU: Cubaan dua lelaki tempatan menyeludup keluar 11 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia gagal selepas kenderaan mereka ditahan di Kilometer 21, Jalan Kalabakan-Keningau, Kalabakan, petang semalam.

Malah, taktik suspek menggunakan van sekolah bagi mengaburi pihak keselamatan gagal apabila dikesan ketika melalui lorong tikus di kawasan berkenaan kira-kira jam 5 petang.

Van sekolah yang digunakan.

Pegawai Pemerintah Batalion 14, Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, pihaknya yang menjalankan tugas rondaan Ops Benteng Covid terserempak dengan kenderaan berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati dua lelaki tempatan berumur 27 dan 44 tahun yang duduk di bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, 11 penumpang berada di dalam van terbabit terdiri daripada tiga lelaki dewasa bersama empat wanita selain masing-masing dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berumur antara lima hingga 52 tahun.

“Siasatan mendapati mereka mempunyai pertalian saudara antara satu sama lain dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yacob berkata, kesemua Pati berkenaan dipercayai cuba dibawa keluar untuk bekerja di sektor perladangan di daerah lain yang berhampiran.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *