Tidak Perlu Ke Mahkamah, Petronas Perlu Bayar Hak Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak merancang untuk memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Petroliam Nasional Bhd (Petronas), namun syarikat itu harus membayar hutangnya kepada negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Mohd. Shafie memberitahu The Malaysian Reserve dalam temuramah baru-baru ini bahawa Petronas juga patut memberi layanan yang sama kepada Sabah seperti yang dilakukannya kepada Sarawak, berdasarkan kepada keputusan mahkamah baru-baru ini.

Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan pada 13 Mac tahun ini bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk-produk petroleum.

“Tidak menjadi masalah kerana mahkamah sudah membuat keputusan dan saya telah menulis surat kepada Petronas. Apa yang perlu dibayar dalam cukai lima peratus mesti dilaksanakan. Tujuh syarikat sudah mula membayar kepada kerajaan negeri.”

“Petronas masih belum melakukan apa yang patut dilakukan, tetapi saya menulis surat kepada mereka kerana ada keputusan daripada mahkamah. Jika Sarawak mendapat haknya, kenapa Sabah tidak?” soalnya seperti dilaporkan Malaysian Reserve.

Menurut Ketua Menteri itu, mereka sedang ‘mengejar’ bayaran itu tetapi mereka tidak akan membawanya ke mahkamah, kerana menganggap tindakan itu (tuntutan) tidak baik untuk negara.

Perintah Cukai Jualan Sabah (Kadar Cukai) 2018 diwartakan pada 6 Disember 2018, di mana ia mengenakan cukai lima peratus ke atas produk-produk petroleum.

Mohd. Shafie berkata, Kementerian Kewangan Sabah melalui surat bertarikh 1 April 2020, sudah memaklumkan kepada sembilan syarikat yang merupakan pemilik berfaedah kontrak perkongsian pengeluaran mengenai pelaksanaan cukai itu.

Syarikat berkenaan ialah Petronas Carigali Sdn Bhd, Petronas Floating LNG 1 (L) Ltd, Sabah Shell Petroleum Co Ltd, Shell Energy Asia Ltd, Hibiscus Petroleum Bhd, Respol Oil & Gas Malaysia Ltd, PTTEP Sabah Oil Ltd, PT Pertamina Malaysia Eksplorasi Produksi dan Conoco Philips Sabah Ltd.

Mohd. Shafie yang memegang portfolio kewangan negeri berkata, negeri ini dijangka mengutip cukai itu sebelum atau pada 28 Mei tahun ini, namun setakat ini katanya, tujuh syarikat sudah membayar kutipan cukai hampir RM25 juta tetapi Sabah sepatutnya mengumpul sekitar RM50 juta sebulan cukai hasil penjualan minyak dan produk petroleum.

Beliau mengakui bahawa perubahan Kerajaan Persekutuan sekarang telah mempengaruhi beberapa perbincangan dengan kerajaan negeri, tetapi Sabah tetap terbuka terhadap hubungan kerja yang baik dengan Persekutuan.

“Ya, ini memberi kesan kepada kita. Saya masih ingat ketika kami membincangkan beberapa perkara termasuk jumlah yang perlu dibayar (kepada kami), namun kita tidak dipanggil. Hanya Sarawak yang dipanggil.

“Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tetap menjadi kawan, walaupun tidak dalam politik. Saya lebih berminat untuk menjaga hubungan di antrara Kerajaan Persekutuan dan negeri,” tambahnya.

Mengenai pelan ekonomi Sabah, Shafie berkata, negeri ini memulakan rangka tindakan dalam pertanian untuk mengurangkan kebergantungan berat terhadap sektor pelancongan.

“Dengan wabak Covid-19 yang melanda sekarang ini, saya berpendapat kita mesti sedar betapa pentingnya keselamatan makanan. Singapura, Jepun dan Hong Kong tidak mempunyai tanah yang mencukupi, tetapi mereka perlukan makanan.

“Sabah pula mempunyai banyak tanah dan ianya sangat subur. Itulah kelebihan bagi negara kita. Ia bukan sahaja keselamatan makanan untuk Malaysia, tetapi juga bagi negara di rantau ini dan dunia. Saya yakin semua itu ada kelebihan,” jelasnya.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna dan ADUN Senallang berkata, sudah tiba masa kerajaan persekutuan untuk mengalihkan perhatian mereka ke Malaysia Timur, iaitu Sabah dan Sarawak, untuk memperbaiki kecekapan dalam bidang perdagangan.

“Sabah dan Sarawak adalah dua negeri yang besar, kaya dengan pelbagai sumber dan dekat kedudukan geografinya dengan Jepun dan China. Jika kita mahu maju dan menggunakan dua negeri ini sebagai kelebihan untuk bersaing dengan India, Singapura dan bahagian lain di dunia, kos perdagangan akan dapat dikurangkan kepada separuh.”

“Kita dari segi geografi berada dalam kedudukan yang baik,” tegasnya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2048