Suami Isteri Didakwa Palsu Dokumen Tender Sewa Kantin Sekolah

Tertuduh, Mohammad Endra Abd Sarakal ditemui ahli keluarganya di perkarangan Mahkamah Tawau.

TAWAU: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender menyewa dan mengurus kantin sekolah di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini.

Tertuduh, Barmah Wati Hassan, 38, dan Mohammad Endra Abd Sarakal, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Menurut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan itu pada 25 Januari 2017 di Pejabat Pendidikan Daerah Semporna dengan niat bersama dengan curangnya menggunakan suatu dokumen tulin iaitu penyata akaun semasa Maybank Islamic atas nama Syarikat E-Pah Corporation yang bertarikh 31 Oktober 2016 yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Tertuduh juga pada tarikh yang sama dengan curangnya menggunakan suatu dokumen tulin iaitu Sijil Akuan Pendaftaran Syarikat dan Sijil Akuan Syarikat Pendaftaran Bumiputera atas nama syarikat E-Pah Corporation yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Semua dokumen itu digunakan untuk tujuan menipu bagi mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin Sekolah Kebangsaan Gelam-Gelam Semporna untuk tempoh dua tahun mulai 1 Februari 2017 hingga 31 Januari 2019.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh didapati melakukan kesalahan dibawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang sama dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda.

Abu Bakar membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 seorang dengan deposit masing-masing RM3,000 bersama seorang penjamin tempatan dan tertuduh diarah melaporkan diri ke Pejabat SPRM Tawau setiap dua bulan sekali selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Clementine Severinus manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, mahkamah menetapkan 4 September sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *