3.9 Juta Rakyat Sabah Terlibat Banci Malaysia 2020

KOTA KINABALU, 15 Julai: Seramai 3.9 juta rakyat Sabah terlibat dalam Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 bermula 7 Julai lalu, membabitkan kira-kira 750,000 kediaman di seluruh negeri, kata Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Sabah Norhayati Jantan.

Beliau berkata jabatan itu telah mengenal pasti sebanyak 511 kawasan bagi penghantaran poskad yang mengandungi maklumat kod jemputan untuk mengakses sistem pengumpulan data secara dalam talian menerusi e-Census, iaitu fasa pertama banci dijalankan sehingga 30 Sept ini.

“Setakat ini, lebih kurang 40,000 hingga 50,000 poskad telah dihantar di kawasan terpilih. Mana-mana kawasan yang belum menerima poskad selepas 24 Julai, pendaftaran terbuka boleh dibuat melalui laman sesawang https://ecensus.mycensus.gov.my bagi mendapatkan kod jemputan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini, hari ini.

Norhayati berkata setakat ini, pelaksanaan banci secara digital mendapat sambutan daripada rakyat Sabah meskipun baru sembilan hari dijalankan.

Bagi kawasan kampung yang tidak mempunyai capaian internet efisien, Norhayati berkata pihaknya memerlukan kira-kira 7,740 pembanci dan 1,200 penyelia bagi menjalankan banci dari rumah ke rumah mulai Oktober depan.

“Tidak ada bayaran dikenakan dalam program banci, selain pembanci diberikan kad pengenalan bagi memudahkan kalangan responden mengenal pasti mereka sebagai pembanci dilantik untuk menjalankan tugas tersebut,” katanya.

Beliau berkata maklumat dan data disalurkan dalam banci akan digunakan kerajaan dalam menentukan dasar serta program pembangunan mampan termasuk kesihatan dan pendidikan.

Terdahulu, Norhayati menyaksikan Tun Juhar mengisi data banci menerusi e-Census.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1063