Shafie Salur RM500,000 Bina Masjid Di Kuala Gum-Gum

SANDAKAN: Umat Islam di perkampungan nelayan Kuala Gum-Gum, di sini mampu menikmati kemudahan lebih selesa apabila sebuah masjid bakal dibina di kampung itu.

Masjid yang dianggarkan bernilai RM500,000 dengan dana disalurkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka memanfaatkan kira-kira 600 penduduk di kampung terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum-Gum, Arunarsin Taib, berkata masjid berkenaan bagi menggantikan surau sedia ada yang kini uzur dan tidak lagi mampu menampung pertambahan jumlah penduduk.

Katanya, ia kini di peringkat kelulusan waran daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sebelum pembinaan boleh dimulakan, dijangka tahun ini.

“Kita mahu membina masjid yang kekal agar penduduk mendapat manfaat dan mampu mengurangkan kos berbanding cuma membaik pulih surau sedia ada.

“Kita sedang menunggu waran dikeluarkan JHEAINS dan berharap kemudahan ini boleh dibina dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui Borneo Today di sini, hari ini.

Kampung Kuala Gum-Gum terletak kira-kira 50 kilometer (km) dari sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Arunarsin berkata, perkampungan seluas 101 hektar itu dirancang untuk menjadi pusat tarikan pelancongan baharu berasaskan penternakan dan pertanian di daerah ini.

Katanya, kedudukan kampung itu yang terletak di tepi laut amat sesuai untuk dijadikan destinasi pelancongan dengan usaha awal sudah diambil bagi menubuhkan Koperasi Wawasan Pembangunan Gum-Gum Sabah Berhad yang dipengerusikannya, sekali gus menjadi badan penggerak bagi melaksanakan pembangunan itu.

“Kita juga berbincang dengan pemilik tanah persendirian di kampung itu untuk membina pusat peranginan dan bersama-sama membangunkan kampung.

“Antara cadangan itu adalah memindahkan rumah penduduk dari atas air ke kawasan darat, membina jalan kampung serta beberapa kemudahan lain,” katanya.

Arunarsin berkata, beliau sudah mengadakan mesyuarat beberapa kali dengan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bagi membincangkan rancangan itu.

Katanya, rancangan itu dijangka mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan, namun bukan saja memberi manfaat kepada penduduk kampung berkenaan, malahan kawasan sekitar apabila kawasan terbabit mula dipromosikan sebagai pusat pelancongan kepada penduduk setempat atau pelancong luar negara.

“Kampung ini sangat berpotensi untuk dibangunkan menjadi pusat pelancongan kerana tarikan sedia ada seperti aktiviti memancing dan makanan laut.

“Apabila rancangan ini direalisasikan, saya yakin ia akan membantu penduduk terutama menaik taraf kehidupan mereka,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1387