Kastam Sabah Rampas Dadah Bernilai RM1.15 Juta

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Abdullah Jaapar (tengah) menunjukkan bungkusan rampasan dadah jenis methamphetamine pada sidang media di sini, hari ini.

TAWAU, 13 Julai: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menahan empat individu serta merampas 23 kilogram dadah dengan nilai anggaran RM1.15 juta dalam tiga operasi Op Ice Break II di Sabah.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata operasi antara 1 hingga 4 Julai itu membabitkan satu kes di Lapangan Terbang Tawau dan dua lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

“Pada 1 Julai lalu, jam 11.40 pagi di Lapangan Terbang Tawau, seorang lelaki 53 tahun yang tiba dari Kuala Lumpur menaiki pesawat komersial ditahan bersama bagasi mengandungi dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 4.193 kilogram (RM209,650) dan siasatan lanjut turut membawa kepada penahanan seorang wanita berumur 49 tahun.

“Pada 2 Julai lepas, pegawai Kastam memeriksa satu beg plastik yang ditinggalkan dalam tandas Balai Ketibaan LTAKK dan di dalamnya mengandungi lapan bungkusan berisi dadah methamphetamine dengan berat kira-kira 8 kilogram dengan nilai anggaran RM400,000,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Antara dadah jenis methamphetamine yang dirampas.

Menurutnya, dua hari kemudian, di LTAKK, JKDM menahan dua lelaki berumur 40-an serta merampas 11 kilogram methamphetamine bernilai anggaran RM550,000 yang disembunyikan dalam dua bagasi, pada 12.34 tengah malam.

Selain kejayaan itu, beliau berkata pihaknya turut merampas minuman keras pada 29 Jun serta 7 Julai lalu di Pelabuhan Sepanggar dan kawasan industri, Kota Kinabalu, yang membabitkan pelbagai jenama minuman termasuk Tiger dan Carlsberg bernilai keseluruhan RM1.27 juta.

Sementara itu, Abdullah mengingatkan orang awam supaya tidak takut untuk menyalurkan sebarang maklumat bagi memerangi jenayah penyeludupan kerana identiti setiap pemberi maklumat adalah dijamin dirahsiakan.

Beliau kata orang awam boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau membuat aduan di laman sesawang iaitu http://aduan.customs.gov.my.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *