Kerajaan Sabah Susun Atur Semula Penempatan Setinggan

TAWAU : Kerajaan Negeri akan menyusun atur semula penempatan di kawasan setinggan terutamanya tanah milik kerajaan sebagai langkah mencegah berlakunya kebakaran dan membendung aktiviti jenayah di kawasan tersebut.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong berkata pihaknya mengambil langkah proaktif untuk mengenal pasti kawasan-kawasan setinggan yang perlu disusun semula dalam usaha menyelesaikan masalah penempatan dan pembangunan supaya lebih terancang.

“Selepas mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri, isu penempatan setinggan merupakan perkara yang perlu diambil perhatian agar kerajaan dapat menyediakan satu penempatan yang baik dan tersusun kepada rakyat.

“Kerajaan negeri sudah ada perancangan untuk memulihkan semula keadaan penempatan setinggan, oleh itu, kita perlukan semua maklumat termasuklah keluasan tanah supaya kerajaan boleh tahu bagaimana bentuk pembangunan yang akan dilaksanakan di sesebuah kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan di kawasan-kawasan setinggan di daerah Tawau dan sesi taklimat di Bilik Mesyuarat Majlis Perbandaran Tawau (MPT), di sini semalam.

Menurutnya, kerja-kerja mengenal pasti kawasan tersebut sepatutnya sudah dilakukan lebih awal, namum memandangkan negara dilanda wabak COVID-19, pelaksanaannya ditangguhkan sebelum disambung semula bermula kelmarin.

“Kami sudah melawat beberapa kawasan setinggan yang ditimpa musibah kebakaran dan beberapa kawasan lain termasuk di daerah Sandakan sebelum ini untuk melihat sendiri kawasan tersebut.

“Kerajaan akan melakukan transformasi keseluruhan tempat tersebut dan tidak hanya tertumpu di kawasan kebakaran sahaja kerana kita mahukan rakyat tinggal dengan selesa,” katanya.

Mengulas lanjut, sekiranya kerajaan tidak melakukannya secara menyeluruh, sudah pasti tiada jalan penyelesaian yang tuntas dan masalah kebakaran serta jenayah akan terus berlaku.

“Banyak perkara yang buruk akan berlaku sekiranya penempatan tersebut tidak diurus dengan baik serta menyebabkan berlakunya lebih banyak kerugian kepada rakyat dan kerajaan.

“Kerajaan juga tidak boleh abaikan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini di kawasan tersebut kerana penduduk di sana merupakan rakyat warganegara Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga optimis daerah Tawau akan menjadi sebuah daerah yang maju impak daripada perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan.

“Kerajaan sudah tentunya mahu melihat daerah Tawau seiring membangun dan pastinya ada perancangan untuk menjadikannya sebagai daerah berstatus Bandaraya kelak,” jelasnya
Jaujan berkata buat masa ini, langkah awal pihak kerajaan negeri adalah menyusun semula pembangunan dan penempatan dibawah tanah milik kerajaan negeri.

“Dengan aset yang pihak kerajaan ada Kita mampu tarik pelabur luar untuk melabur di negeri kita dan bersama-sama membangunkan satu pembangunan negeri yang lebih maju,” katanya.

Turut Hadir Pengurus Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Datuk George Liew, Timbalan Setiausaha Tetap KKTP Stanley Chong, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Tony Koh dan Penolong Pemungut Hasil Tanah Tawau Munandar Tahir.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3974