Patah Pergelangan Kaki Digigit Buaya

Lelaki berusia 57 tahun patah pergelangan kaki selepas digigit buaya sepanjang hampir dua meter.

TUARAN: Pantang maut sebelum ajal. Seorang lelaki berusia 57 tahun patah pergelangan kaki selepas digigit buaya dalam kejadian di Sungai Kampung Saman Berungis, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Maksud Samad dikatakan berjalan menyeberangi sungai pada ketinggian paras pinggang untuk cuba mengejar seekor monyet.

Bagaimanapun, tanpa disedari, mangsa tiba-tiba diserang seekor buaya yang dianggarkan sepanjang hampir 2 meter.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima laporan daripada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang menyatakan seorang penduduk kampung cedera selepas diserang buaya di kampung berkenaan.

Katanya, polis kemudiannya melakukan pemeriksaan ditempat kejadian dan mendapati rumah mangsa terletak berhampiran sungai paya bakau di kawasan kampung berkenaan.

“Semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang mengejar monyet dan menyeberang sungai pada kedalaman paras pinggang.

“Bagaimanapun, mangsa diserang seekor buaya dan kini masih dirawat di wad Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) akibat patah pergelangan kaki kanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hamizi berkata, kes sudah dirujuk untuk tindakan Jabatan Perhilitan dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian seperti ini supaya disalurkan kepada polis di talian 088-791933, 088-791966 atau 088-791977.

Sehubungan itu, Hamizi menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika membuat sebarang aktiviti yang berhampiran dengan sungai.

Katanya, orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat mengenai insiden seperti ini atau sebarang kejadian jenayah kepada pihak polis untuk tindakan segera.

“IPD Tuaran akan sentiasa mengambil perhatian yang serius dan tindakan sewajarnya ke atas sebarang kejadian jenayah yang berlaku di sekitar Daerah Tuaran ini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *