UMNO Sabah Mahu SPRM Siasat Urus Niaga Tanah Di Bagahak

Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain mendakwa urus niaga tanah di Bagahak memberi kelebihan kepada Timbalan Ketua Menteri Christina Liew.

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain menggesa agensi pencegahan rasuah supaya meneliti keputusan Ketua Menteri Shafie Apdal untuk menyerahkan 6,800 hektar tanah yang sedang dimajukan kepada komuniti pekebun kecil di Bagahak, Lahad Datu.

Beliau mendakwa motif pemimpin Warisan itu ialah untuk “menyelamatkan” timbalannya, Christina Liew, yang diperintahkan oleh mahkamah, bersama-sama 2 yang lain, supaya membayar ganti rugi sebanyak RM577 juta.

“Ia kini menjadi isu yang kompleks dan rumit selepas Shafie bersetuju untuk menyerahkan tanah tersebut kepada peneroka terbabit dan memberikan pampasan dalam bentuk tanah ganti kepada Borneo Samudera, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Sawit Kinabalu.

“Secara peribadi saya tidak menentang Shafie dalam hal ini, tetapi saya mempersoalkan motif di sebaliknya. Apakah Shafie mahu menyelamatkan kerjaya politik Liew?”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu hari ini, bekas perdana menteri Najib Razak turut mempersoalkan urus niaga itu.

Aziz juga mempersoalkan sama ada tanah ganti seluas 18,000 hektar kepada Borneo Samudera merupakan dorongan kepada syarikat milik kerajaan negeri itu supaya menarik balik samannya terhadap Liew di bawah apa yang dinamakan “formula menang-menang”.

Beliau mendakwa kerajaan Sabah yang diketuai oleh Warisan cuba menyelamatkan Liew daripada pendakwaan beberapa kali sebelum ini tetapi gagal.

Aziz percaya syarikat negeri itu akan menarik balik samannya terhadap Liew apabila mahkamah menimbangkan rayuan beliau.

Katanya, langkah Shafie itu tidak masuk akal kerana syarikat tersebut menyumbang kepada hasil kerajaan negeri dan kini berkemungkinan terpaksa mengalami kerugian.

Liew dan 2 yang lain didapati bersalah pada 2014 kerana secara salah mempengaruhi sekumpulan pekebun kecil supaya melanggar perjanjian usaha sama mereka dengan Borneo Samudera.

Dua individu tersebut ialah Samsuri Baharuddin, peguam bagi sekumpulan 819 pekebun kecil di skim pekebun kecil Bagahak dan Siti Rahfizah Mihaldin, bekas kerani Liew.

Mahkamah Tinggi menganugerahkan ganti rugi sebanyak RM557 juta kepada Borneo Samudera selepas mendapati wujudnya bukti dari sudut undang-undang berlakunya dorongan supaya melanggar kontrak.

Pada 17 Februari tahun ini, mahkamah menolak permohonan Liew untuk memasukkan keterangan baru dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Liew, yang merupakan peguam pembangkang ketika itu membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.- FreeMalaysiaToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *