Kawasan SAR Bekas Anggota TLDM Diperluas

Maritim dan agensi lain masih giat mencari Mahmur di perairan Semporna.

SEMPORNA: Kawasan mencari dan menyelamat bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mahmur Ajae, 45, yang dilaporkan hilang, Sabtu lalu, diperluaskan kepada 155 batu nautika persegi, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, kawasan pencarian diperluaskan berbanding 101 batu nautika persegi, semalam, selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada pukul 7 pagi tadi.

“Sehingga pukul 4 petang tadi, kami belum menerima sebarang petunjuk atau maklumat berhubung penemuan mangsa.

“Operasi hari ini membabitkan enam pegawai dan 53 anggota lain-lain pangkat dari pelbagai agensi yang terlibat,” katanya.

Tambahnya, SAR akan ditangguh pada 6 petang ini sebelum disambung esok membabitkan skala pencarian yang lebih luas, sekiranya mangsa belum ditemui.

Terdahulu, Mahmur dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya bersama seorang lagi rakannya Salimin Saludin, 44, terbalik dan karam akibat dipukul ombak, berhampiran Pulau Mabul, dekat sini, pada pukul 7 pagi, Sabtu lalu.

Difahamkan Salimin yang juga bekas anggota TLDM berjaya diselamatkan penduduk kampung berhampiran pada pukul 9.45 pagi, hari yang sama dan sempat menghubungi keluarganya untuk memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis untuk mendapatkan bantuan.

Susulan itu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Semporna mengaktifkan operasi SAR untuk mengesan mangsa, dibantu TLDM, Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Tugas Bersama Dua (ATB2) dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM).- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *