Covid-19: Warga Asing Pulang Dari Pakistan Antara Dua Kes Baharu Di Sabah

KOTA KINABALU: Dua lagi kes baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah dan kali ini melibatkan kes prapembedahan di Kota Kinabalu dan melibatkan warga asing yang baru balik dari Pakistan dikesan di Keningau.

Sepanjang minggu ini hampir setiap hari ada pertambahan kes baharu di Sabah kecuali pada 1 Julai yang tidak merekodkan sebarang kes baharu.

Pertambahan dua kes baharu hari ini menjadikan jumlah kes keseluruhan Covid-19 di Sabah sehingga kini adalah sebanyak 378 kes.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, dengan pertambahan kes itu, Kota Kinabalu kini mencatatkan bilangan kes kumulatif sebanyak 69 kes termasuk enam kes aktif.

Manakala, bilangan kes kumulatif di Keningau adalah sebanyak 20 kes dengan satu kes aktif. Pertambahan kes baharu itu menjadikan daerah Keningau kembali sebagai zon kuning.

Setakat ini, sembilan daerah masih mencatatkan kes aktif termasuk Kota Kinabalu dan Keningau.

Turut mencatatkan kes aktif adalah Tuaran (2) dan masing-masing satu kes di Tawau, Sandakan, Penampang, Kota Belud, Ranau dan Nabawan.

Beliau berkata, tiada sebarang kes pulih dilaporkan hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih setakat ini adalah seramai 356 kes.

Sehingga kini, jumlah kes kematian di Sabah kekal dengan tujuh kes iaitu empat kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau, Keningau dan Tambunan.

Di seluruh Malaysia, sebanyak lima kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 setakat ini adalah sebanyak 8,663 kes. Bilangan kes aktif di Malaysia sehingga kini adalah sebanyak 77 kes.

Manakala, terdapat empat kes yang pulih hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih sehingga kini adalah sebanyak 8,465 kes. Kes kematian di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 121 kematian.

Seramai dua pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan alat pernafasan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *