Bot Karam Di Semporna, Seorang Selamat Satu Masih Hilang

Pencarian masuk hari kedua. – Gambar Ihsan APMM

SEMPORNA: Seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama rakannya karam akibat dipukul ombak di kawasan perairan Pulau Mabul, Semporna, awal pagi semalam.

Mahmur Ajae, 45, berasal dari Kampung Keramat, Semporna keluar memancing dengan rakannya Salimin Paludin, 44, yang juga pesara TLDM, kira-kira 7 pagi ketika laut bergelora.

Bot dinaiki mereka dipukul ombak bagaimanapun Salimin sempat berpaut pada tali bot dan diselamatkan nelayan tempatan manakala Mahmur gagal dikesan.

Salimin dihantar ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Semporna, Komader Maritim Norrimi Hassan, ketika di hubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 1.30 petang petang semalam untuk mencari mangsa.

“Operasi semalam ditangguhkan pada 6 petang dan disambung semula pagi ini bermula 7 pagi dengan sektor pencarian diperluaskan kepada 101 Batu Nautika persegi yang membabitkan pelbagai agensi menggunakan lapan bot dan kapal milik TLDM,” katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *