Virus Polio Dikesan Di Labuan

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan virus polio dalam sampel air kumbahan yang diambil di Labuan susulan aktiviti survelan persekitaran menerusi persampelan yang diperluaskan ke 64 lokasi di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pengesanan virus terbabit disahkan Makmal Rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia namun tiada kes dikesan di wilayah terbabit setakat ini.

“Tiada kes dalam kalangan penduduk Labuan setakat ini berdasarkan survelan Acute Flaccid Paralysis (AFP) dan saringan 41 orang kanak-kanak sihat berumur bawah lima tahun yang dijalankan secara rawak.

“Berikutan itu, Jabatan Kesihatan WP Labuan menjalankan Kempen Imunisasi Polio bagi mencegah jangkitan dalam kalangan penduduk.

“Kempen ini membabitkan pemberian dua dos vaksin bivalent oral polio type 1dan 3 (bOPV) yang diberikan secara titisan ke dalam mulut dengan menyasarkan kanak-kanak berumur bawah 13 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Hisham turut meminta golongan ibu bapa di Labuan memastikan anak berusia bawah 13 tahun menerima vaksin oral polio mengikut jadual yang dimaklumkan Jabatan Kesihatan WP Labuan.

Beliau berkata, vaksin polio diberi secara suntikan dalam bentuk vaksin lima serangkai (DTaP-IPV/Hib) mengandungi komponen antigen difteria, tetanus, pertussis, polio haemophilus influenzae type b dan perlu terus diambil mengikut jadual ditetapkan pada umur dua, tiga, lima serta 18 bulan.

Katanya, tiada penambahan kes polio dilaporkan di Sabah manakala bilangan kes yang disahkan polio melalui ujian makmal kekal empat kes.

“Ibu bapa perlu memastikan anak mendapat vaksin polio secara suntikan mengikut jadual ditetapkan dan merujuk klinik kesihatan untuk penjadualan semula suntikan vaksin mengikut kesesuaian umur kanak-kanak terbabit,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4442