ADUN Kuamut Bayar Hutang Tambang Pastikan Khidmat Van SMK Entilibon Kekal

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah akan menanggung sepenuhnya hutang yang masih belum dibayar untuk memastikan perkhidmatan van menghantar pelajar asrama ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entilibon diteruskan.

Masiung yang mengakui kesal kerana tidak dimaklumkan tentang masalah itu yang telah berlarutan sejak 2018 berkata, beliau tidak mahu ibu bapa terbeban dengan bayaran tambang tersebut.

Menurut Masiung, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tongod akan berkunjung ke sekolah itu esok untuk berbincang dengan pihak pentadbiran bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Saya juga terkejut selepas membaca berita tentang masalah pelajar di situ sebab tidak pernah dimaklumkan sedangkan saya diberitahu sudah berlarutan sejak 2018 tetapi sekarang saya akan pastikan masalah itu diselesaikan, saya akan cari kewangan untuk bayar hutang itu.

“Paling penting sekarang kita mahu komitmen ibu bapa untuk terus menghantar anak mereka ke sekolah kerana pendidikan adalah perkara paling penting untuk berjaya, jangan risau tentang hutang itu,” katanya kepada Borneo Today ketika dihubungi.

Beliau mengulas tentang laporan Borneo Today hari ini tentang kemungkinan 300 pelajar asrama di SMK Entilibon berjalan kaki 3.6 kilometer sehari pergi balik ke sekolah kerana jarak antara sekolah dan asrama kira-kira 1.8 kilometer.

Ketika ini, pelajar asrama itu menaiki van dengan tambang RM2 sehari untuk ke sekolah, namun disebabkan ramai yang tidak mampu membayar, perkhidmatan van itu dikatakan akan dihentikan bermula Isnin depan.

Ibu bapa yang membuat aduan turut kesal kerana SMK Entilibon yang dibina sejak beberapa tahun lalu hanya melibatkan bangunan sekolah tanpa asrama menyebabkan pelajar asrama ditempatkan di lokasi yang jauh.

Pengarah Pelajar Sabah, Dr. Mistrine Radin ketika mengulas isu itu berkata, Jabatan Pendidikan akan menyediakan bas untuk pengangkutan pelajar berkenaan selepas ini manakala permohonan pembinaan asrama telah dihantar kepada Majlis Daerah Kinabatangan untuk kelulusan.

Masiung berkata, pembinaan asrama itu sebenarnya telah disampaikannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak kerajaan terdahulu tetapi masih belum direalisasikan.

“Saya sudah beritahu pelajar-pelajar asrama itu datang dari kampung yang jauh di pedalaman jadi mereka perlukan asrama, saya tidak mahu salahkan sesiapa tetapi sampai sekarang masih belum ada asrama baharu disediakan.

“Saya juga hairan kenapa semasa sekolah baharu SMK Entilibon dibina, bangunan asrama tidak dibuat sekali,” katanya.

Tambah Masiung, Jabatan Pendidikan diharap dapat mencari penyelesaian terbaik selepas ini kerana tidak mahu mereka hanya bergantung kepadanya untuk membayar kos tambang berkenaan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *