Ratusan Kenderaan Terkandas Di Kota Belud

KOTA KINABALU: Ratusan kenderaan terkandas di bulatan utama Kota Belud, kira-kira 74 kilometer dari sini, selepas kenderaan menghala ke daerah itu dari kedua-dua arah Kota Kinabalu-Kota Belud tidak dapat melalui jalan berkenaan kerana dinaiki air susulan hujan lebat melanda negeri ini sejak semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah Misran Bisara berkata, kenderaan dari arah Kota Kinabalu terkandas sejauh tiga kilometer sebelum sampai ke bulatan utama itu, yang merupakan pintu masuk ke daerah berkenaan.

Credit: Valencia Bd Bilin Kuntom @ FB

“Begitu juga kenderaan dari Kota Belud tidak boleh keluar kerana jalan dinaiki air,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Misran berkata laluan di bulatan utama Kota Belud itu tidak dapat dilalui sejak semalam memandangkan paras air sungai berhampiran meningkat sehingga satu meter.

“Atas sebab itu, ada pemandu yang tidak dapat melalui jalan terpaksa mengambil tindakan meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan. Bagaimanapun, tanpa diduga, kenderaan diletakkan dalam keadaan selamat di bahu jalan turut terjejas apabila air sungai melimpah secara mendadak,” katanya.

Misran berkata jalan berkenaan masih tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan dan hanya kenderaan pacuan empat roda sahaja boleh melaluinya buat masa ini.

Beliau berkata seramai 31 anggota dari Balai Bomba Penyelamat Kota Belud diketuai oleh ketua balainya Mohd Sazwan turut membuat pemantauan di kawasan itu bagi memastikan semua penduduk berada dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah dalam kenyataannya berkata berkata 10 daerah di Sabah terjejas akibat banjir dan banyak aktiviti tidak dapat dilaksanakan oleh penduduk di Kawasan-kawasan berkenaan.

Daerah terbabit ialah Tenom, Pitas, Beaufort, Membakut, dan Papar, selain Kota Belud, Kota Marudu, Penampang, Keningau dan Tuaran.

Disamping itu, para penduduk turut berkongsi gambar dan video mengenai keadaan banjir di kawasan masing-masing menerusi media sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp.

Antara gambar dan video dikongsikan ialah keadaan pekan Donggongon, Penampang, yang digenangi air sehingga menyebabkan banyak premis-premis perniagaan terpaksa ditutup, selain rumah ditenggelami air.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1903