Bekas Ketua Menteri Beri Amaran Kerajaan Sabah Akan Bankrap

Yong Teck Lee berkata, pendapatan Sabah tidak akan dapat menampung komitmen kewangan kerajaan negeri dan dijangka mengalami defisit sebanyak RM806 juta kerana 2 pakej Covid-19 yang dilancarkan pada 25 Mac serta 18 Jun lalu.

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah, Yong Teck Lee berkata kerajaan negeri pimpinan Warisan itu menuju kebankrapan kewangan kerana tidak cekap dan kebodohan politik.

Katanya, masalah kewangan yang dihadapi Kolej Universiti Yayasan Sabah hanya petunjuk masalah kewangan yang akan dihadapi kerajaan negeri tidak lama lagi.

“Ketidakcekapan pentadbiran Sabah, kegagalan menonjol untuk menangani kemerosotan ekonomi Covid-19 dan rancangan semberono pemimpin kerajaan untuk menggulingkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mencetuskan situasi buruk krisis ekonomi di Sabah.

“Kerajaan Sabah pimpinan Warisan juga lumpuh akibat ledakan konflik dalaman,” katanya dalam satu kenyataan sambil menambah keretakan dalam Pakatan Harapan berhubung isu calon perdana menteri turut memecah belahkan pakatan Warisan-PKR di negeri itu.

Presiden SAPP itu berkata, pendapatan Sabah tidak akan dapat menampung komitmen kewangan kerajaan dan dijangka mengalami defisit sebanyak RM806 juta kerana 2 pakej Covid-19 yang dilancarkan pada 25 Mac serta 18 Jun lalu.

Pendapatan Sabah diunjurkan berjumlah RM4,192 juta berbanding perbelanjaan RM4,143 juta, menyebabkan lebihan RM49 juta di bawah belanjawan negeri tahun ini.

“Semua sumber pendapatan utama Sabah dijangka berkurangan. Contohnya, disebabkan pengeluaran dan harga rendah, royalti minyak dijangka merosot daripada daripada anggaran RM1,700 juta kepada hanya RM1,100 juta.

“Begitu juga cukai jualan minyak sawit mentah yang dianggarkan merosot daripada RM852 juta kepada RM600 juta, serta disebabkan pembangunan yang tidak berkembang, hasil tanah akan merosot sekitar RM200 juta (daripada unjuran RM300 juta).”

Yong berkata, perkara lain yang akan terjejas termasuk hasil air (berkurangan daripada RM305 juta kepada RM250 juta), cukai perjudian (daripada RM60 juta kepada RM30 juta) dan cukai eksport makanan laut (daripada RM10 juta kepada sifar).

Katanya, hasil perkongsian 50% cukai pelancongan persekutuan juga sedikit saja.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *