5 Daerah Di Sabah Terjejas Banjir

Keadaan Daerah Kota Belud yang dilanda banjir akibat hujan berterusan sejak kelmarin.

KOTA KINABALU: Lima daerah di Sabah iaitu Kota Belud, Kota Marudu, Penampang, Keningau dan Tuaran dilanda banjir susulan hujan lebat sejak semalam.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah dalam kenyataan hari ini, berkata bencana itu menjejaskan 41 buah kampung, namun setakat ini hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi iaitu di Kota Belud, membabitkan 31 mangsa daripada 16 keluarga.

Keadaan Daerah Kota Belud yang dilanda banjir akibat hujan berterusan sejak kelmarin.

“Sebanyak 19 Kampung terjejas di Kota Belud iaitu Kampung (Kg) Siasai Tamu, Kg Kota Belud, Kg Bobot, Kg Ejuk, Kg Menunggui, Kg Lebak Engad, Kg Serimbai, Kg Lingkodon, Kg Dongoi, Kg Marajah, Kg Lebak Moyoh, Kg Sadok-Sadok, Kg Gunding, Kg Linau, Kg Karang Benai, Kg Taun Gusi, Kg Tanjung Pasir, Kg Labuan dan Kg Tanjung Wakap,” demikian menurut kenyataan itu.

Beberapa kampung di Penampang, Keningau, Kota Marudu dan Tuaran juga dinaiki air, namun tiada PPS dibuka setakat pagi ini.

“Pemantauan sedang dibuat di kawasan-kawasan panas di daerah berkenaan dan segala maklumat terkini akan disalurkan dari semasa ke semasa,” kata agensi itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Datuk Richard Jomiji, ketika dihubungi berkata beberapa jalan raya terjejas dan tidak dapat dilalui akibat tanah runtuh susulan hujan lebat lebih tiga jam semalam.

“Kawasan yang terjejas teruk ialah di KM 41 Jalan Keningau – Kimanis yang mengalami kejadian tanah runtuh pada 6.30 petang semalam.

“Namun syarikat konsesi telah diarah menjalankan kerja-kerja pembersihan malam tadi dan kini jalan itu boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

8064