Gara-Gara RM5, Peniaga Maut, 1 Lagi Parah

Polis mengangkat mayat peniaga yang meninggal dunia dalam pergaduhan di Kampung Pulau Penampang, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Perselisihan faham mengenai baki wang berakhir tragedi apabila seorang peniaga runcit maut dalam pergaduhan di hadapan kedainya di Kampung Pulau Penampang di Kota Kinabalu petang semalam.

Dalam kejadian 3.15 petang itu, lelaki berusia 58 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Foto Ihsan Pembaca

Seorang lagi lelaki berusia 20 tahun parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

Difahamkan, anak kepada lelaki yang parah dikatakan ke kedai runcit berkenaan untuk membeli sebotol air mineral.

Menurut sumber, kanak-kanak itu kemudiannya memberikan wang RM10 kepada mangsa yang juga pemilik kedai runcit berkenaan.

Foto Ihsan Pembaca

“Mangsa kemudian mengembalikan baki wang sebanyak RM3 sebelum kanak-kanak terbabit pulang dan memberikan baki wang itu kepada ibunya.

“Namun ibunya tidak berpuas hati kerana wang yang diberikan sebanyak RM10 dan sepatutnya baki wang adalah RM8 lalu ibu dan bapa kanak-kanak itu ke kedai terbabit untuk meminta penjelasan.

Bagaimanapun, peniaga itu mendakwa wang yang dibayar berjumlah RM5 lalu berlaku pertengkaran antara ibu kanak-kanak terbabit dengan isteri peniaga berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, keadaan berlarutan hingga menyebabkan mangsa dan bapa kanak-kanak terbabit campur tangan dan berlaku pergaduhan sebelum peniaga itu bertindak memukul bapa kanak-kanak terbabit menggunakan benda keras.

“Bapa kanak-kanak itu mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital.

“Selepas itu, dua lelaki datang ke kedai runcit lalu bertindak memukul mangsa hingga menyebabkannya rebah sebelum mereka melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu segera ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan mangsa disahkan meninggal dunia.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5775