Kedudukan Shafie Belum Lagi Diputuskan PH, Kata AMANAH & DAP

Mohamad Sabu dan Guan Eng (kanan).

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP belum lagi membincangkan secara rasmi cadangan menamakan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) kembali mengambil alih pentadbiran negara.

Menerusi kenyataan bersama, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menjelaskan bahawa pencalonan sedemikian adalah suatu pilihan baharu dalam usaha mengembalikan semula mandat rakyat yang diberikan kepada PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“AMANAH dan DAP mengambil maklum kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas pertemuan tidak rasmi, Khamis lalu dan cadangan untuk menamakan Shafie sebagai calon baharu Perdana Menteri.

“Bagaimanapun, cadangan itu perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat AMANAH dan DAP terlebih dahulu serta seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk diputuskan secara bersama,” kata kedua-dua pemimpin berkenaan dalam kenyataan itu, hari ini.

Keputusan untuk mencalonkan Shafie diumumkan Dr Mahathir dalam satu kenyataan petang tadi. Keputusan itu dicapai susulan mesyuarat tidak rasmi pimpinan PH, WARISAN serta BERSATU.

Dr Mahathir dalam kenyataan itu berkata, keputusan mencalonkan Shafie dibuat secara sebulat suara. Beliau menyokong pencalonan Shafie berbanding dirinya sendiri seperti sebelum ini yang dilihat mencetus polemik baharu dalam PH.

Mesyuarat tidak rasmi itu juga bersetuju untuk mencalonkan, masing-masing Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan Timbalan Perdana Menteri II.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Dr Mahathir menyatakan hasrat untuk kembali menjadi Perdana Menteri selama enam bulan sebelum menyerahkan kepada penggantinya.

Bagaimanapun, hasrat Dr Mahathir untuk kembali menerajui negara buat kali ketiga ditolak PKR kerana mahu Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dinamakan sebagai sebagai calon Perdana Menteri.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *