UMS Tawar Biasiswa Kepada Veveonah

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menawarkan biasiswa kepada Veveonah Mosibin selepas videonya tular di media sosial ketika menduduki peperiksaan akhir di atas pokok untuk mendapatkan liputan internet yang baik.

Naib Canselor UMS Profesor Dr. Taufik Yap Yun Hin berkata, pelajar berusia 18 tahun itu merupakan seorang pelajar yang bijak dan proaktif sepanjang pengajian Asasi Sains di UMS.

“UMS dengan sukacitanya menawarkan biasiswa kepada Veveonah Mosibin yang menamatkan pengajian Asasi Sains di UMS untuk menyambung pengajiannya di peringkat sarjana muda di UMS.

“Semoga Veveonah akan berjaya dengan cemerlang dalam pengajiannya. Tahniah Veveonah!,” katanya dalam akaun Facebooknya semalam.

Pelajar yang berasal dari Kampung Sabanalang, Pitas itu iaitu kira-kira tiga jam dari Kota Kinabalu menjadi sensasi internet apabila videonya bertajuk 24 jam di atas pokok tular.

Dalam video itu, Veveonah terpaksa bermalam di atas pokok demi mendapatkan liputan internet yang kuat untuk menduduki peperiksaan atas talian.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah mengambil maklum akan perkara tersebut dan berjanji untuk membina sebuah menara telekomunikasi baharu di kawasan berhampiran kampungnya pada tahun hadapan.

Kisah Veveonah juga berjaya menarik perhatian isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah Jasni yang juga merupakan penasihat kepada Yayasan Nur Jauhar apabila Veveonah menerima bantuan berupa wang tunai dan barang keperluan di Istana Negeri, Selasa lalu.

Veveonah, yang bercita-cita menjadi seorang guru, mengucapkan terima kasih kepada pihak berwajib atas bantuan itu di mana beliau yakin  bantuan itu akan mendorongnya untuk  mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *