Seramai 45,065 Pelajar Sekolah Di Sabah Mula Sesi Hari Ini

Mistirine meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu hari ini. – Foto NSTP/MALAI ROSMAH TUAH

KOTA KINABALU: Seramai 45,065 pelajar sekolah menengah tingkatan lima dan enam memulakan sesi persekolahan di Sabah, hari ini.

Pengarah Pendidikan Sabah, Dr Mistirine Radin, berkata jumlah berkenaan membabitkan pelajar bagi kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk 221 sekolah kerajaan serta 15 swasta.

“Bilangan guru yang terbabit dalam pembukaan sekolah seluruh negeri pula membabitkan seramai 16,703 orang, iaitu 16,239 guru sekolah menengah kerajaan dan 464 orang guru sekolah menengah swasta.

“Walaupun sekolah rendah setakat ini belum dibuka, namun 26,429 guru sekolah rendah kerajaan di negeri ini juga sudah diarahkan berada di sekolah masing-masing bermula hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau hari pertama persekolahan selepas ditutup selama lebih tiga bulan di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mistirine berkata, pihaknya berpuas hati dengan persiapan yang sudah dilakukan semua sekolah dalam memastikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetap Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, beliau turut meminta semua guru dan pelajar supaya menerapkan normal baharu termasuklah memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan dan penggunaan cecair basmi kuman sebagai langkah pencegahan COVID-19.

“Hal ini penting kerana kita mahu menghindari dari wujudnya kluster sekolah di negeri ini,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1067