Jambatan Sungai Damit Alami Pesongan Tidak Akan Diroboh

Jambatan Sungai Damit

KOTA KINABALU: Pembinaan Jambatan Sungai Damit, Tuaran yang sudah hampir 92 peratus siap didapati terdapat sedikit pesongan.

Namun, keadaan itu tidak memerlukan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk merobohkan keseluruhan struktur jambatan yang dibina dengan kos sebanyak RM18juta itu.

Pengarah JKR, Datuk Richard Jomiji berkata, pesongan berkenaan akan cuba diperbaiki oleh pihak kontraktor kerana proses pembinaan jambatan itu masih belum siap sepenuhnya.

Bagaimanapun, dari segi penyiapan projek, terdapat sedikit kelewatan untuk menyiapkan jambatan tersebut berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jambatan ini dijadualkan siap sepenuhnya pada 31 Ogos.Tapi, disebabkan PKP, proses pembinaannya tertangguh. Jadi, tarikh penyiapan projek mungkin perlu dipanjangkan selama dua bulan lagi,” katanya ketika ditanya mengenai dakwaan Jambatan Sungai Damit bakal dirobohkan.

Pembinaan Jambatan Sungai Damit sepanjang 104 meter itu bermula pada April 2019.

Dengan penyiapan jambatan ini, ia bakal memberi manfaat kepada kira-kira 7,000 penduduk kampung yang berada di situ. Ia termasuk penduduk Kampung (Kg) Sawah, Sungai Damit, Bintangor, Pitas, Bantayan, Damat, Bontoi dan Tamparuli.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2376