Tawau Catat 488 Kes Denggi, Taman Semarak Fasa 2B, Fasa 2A Diisytihar Kawasan Wabak

TAWAU: Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau merekodkan 488 kes denggi di daerah itu bagi tempoh Januari hingga hari ini, kata pegawainya, Dr G Navindran.

Beliau berkata kes berkenaan melibatkan kawasan Taman Semarak Fasa 2B, Taman Semarak Fasa 2A, Taman Semarak Megah, Pasir Putih, Tinagat serta Brantian.

“Sebagai makluman Taman Semarak Fasa 2B dan Taman Semarak Fasa 2A diisytiharkan sebagai kawasan wabak denggi, manakala Taman Semarak Megah pula diisytiharkan sebagai kawasan panas wabak itu kerana mencatatkan kejadian kes melebihi 30 hari,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya memastikan persekitaran kediaman masing-masing bersih serta bebas daripada pembiakan nyamuk aedes.

Katanya, perubahan cuaca apabila musim hujan yang menyebabkan banyak takungan air, memudahkan nyamuk aedes mencari tempat bertelur dan meningkatkan populasi.

“Dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 di Tawau, kita juga berdepan dengan kes denggi,” katanya, sambil meminta masyarakat meningkatkan langkah pencegahan populasi nyamuk aedes.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *