Rasa Tidak Puas Hati Terus Meningkat Dalam Warisan, PKR Sabah

Timbalan ketua Wanita Warisan Sepanggar Faizah Din berkata, bekas ketua beliau Raisa Abd Ghaffur keluar parti atas sebab peribadi.

KOTA KINABALU: Petanda rasa tidak puas hati semakin bertambah dalam 2 parti utama di negeri ini, dengan PKR Sabah mengumumkan pemecatan 2 pemimpin bahagian, sementara pemimpin bahagian Warisan mendakwa 600 ahli di bahagian itu keluar parti.

PKR Sabah secara rasmi mengumumkan pemecatan ahli Parlimen Ranau Jonathan Yasin dan Adun dilantik Jafari Waliam, ketua PKR Libaran, yang keluar parti itu 3 bulan lepas.

Ketua PKR Kudat Rahimah Majid juga dipecat, sementara 3 pemimpin bahagian parti itu juga digantung, iaitu Kong Hong Min (Tawau), Roland Chia (Sepanggar) Haris Thomas Tupang (Silam) dan Aslan Kansut (Tenom).

FMT difahamkan bahawa biro disiplin PKR Sabah memanggil mereka terlibat bagi menjelaskan tindakan masing-masing, walaupun sebilangannya telah pun mengumumkan penarikan diri mereka atau dilaporkan keluar parti lebih awal seperti Jafari dan Yasin.

Dalam perkembangan lain, ketua penerangan negeri Adam Fistival berkata, PKR Sabah akan menghantar notis kepada timbalan ketua parti itu di Kalabakan Mohd Jailani Chachu supaya mengemukakan bukti bahawa 2,000 ahli parti itu keluar PKR dan sekiranya gagal parti bercadang untuk memfailkan saman terhadap beliau.

“Jangan hanya bercakap bagi meraih publisiti murahan,” katanya.

600 ahli Warisan dilaporkan keluar parti di Sepanggar

Ketua Wanita Warisan Sepanggar, Raisa Abd Ghaffur berkata hari ini bahawa beliau dan 600 ahli keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan ketua bahagian itu, Azis Jamman.

Raisa berkata, Azis, yang merupakan ahli Parlimen Sepanggar tidak pernah menjawab panggilan beliau berhubung penganjuran program parti dan kerja kebajikan.

Bagaimanapun timbalan Raisa, Faizah Din, yang mengambil alih kedudukan Raisa berkata, pemergian beliau adalah disebabkan alasan peribadi.

Beliau berkata, Raisa hanya kembali melakukan kerja-kerja parti baru-baru ini, iaitu dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) selepas cuti bersalin selama 3 bulan. – FreeMalaysiaToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *