TAMBUNAN: Pendaftaran perkahwinan yang sepatutnya berlangsung hari ini bertukar menjadi majlis pengebumian apabila sepasang tunangan terbabit dalam kemalangan jalan raya yang meragut nyawa salah seorang daripada mereka.
Kemalangan yang meragut dua nyawa wanita berhampiran SM Saint Martin, Tampasak itu mengakibatkan seorang lelaki kehilangan tunang tersayang.
Dua lagi mangsa yang cedera parah termasuk seorang lelaki berusia 25 tahun masih dirawat di Hospital Tambunan. Kereta dinaiki kesemua mangsa difahamkan terbabas sebelum melanggar tiang elektrik dan terpotong dua dalam kemalangan tersebut.
Kemalangan yang berlaku di KM 4, Jalan Tambunan-Kota Kinabalu pada 11 malam Sabtu itu melibatkan empat mangsa termasuk dua wanita yang maut dan dua lagi cedera parah.
Bagi penduduk Kampung Karanaan, Tambunan, Ben Adner Basal Bullah,34, kawasan tersebut memang kawasan kemalangan kerana terdapat selekoh berbahaya.
Dalam kemalangan yang berlaku pada malam Sabtu itu, beliau berkata, kereta dinaiki mangsa terpotong dua hingga menyebabkan bahagian belakang kereta terpelanting di hadapan pintu pagar rumah mereka.
Difahamkan wanita tersebut sepatutnya mendaftar perkahwinan di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negeara hari ini.
Ben berkata, lampu jalan di situ sering tidak berfungsi menyebabkan pengguna jalan raya sukar untuk melihat keadaan jalan.
Ketika bapanya bertugas sebagai Pemimpin Pembangunan Masyarakat, masalah lampu jalan ini sering dibawa kepada perhatian pihak berwajib.
Katanya, insiden terbaru yang meragut nyawa dua wanita ini juga akan dimaklumkan kepada pegawai daerah agar tindakan segera boleh diambil.
Menurutnya, jika orang luar menggunakan jalan ini, mereka akan menyangka ia adalah jalan lurus. Walhal, kawasan ini mempunyai selekoh yang mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. Banyak kejadian kemalangan yang sudah berlaku di sini.
“Malah, untuk keluar dari kawasan Sekolah Menengah (SM) ST Martin juga agak berbahaya kerana tidak dapat melihat kenderaan yang datang dari arah bertentangan,” katanya.
Menurutnya, biarpun ada usaha memasang lampu jalan agar pengguna jalan raya dapat melihat keadaan jalan namun, lampu jalan tersebut tidak berfungsi sejak lapan bulan lalu. Ini antara faktor yang mengakibatkan sering berlaku kemalangan di kawasan ini.
Ben berkata, kemalangan yang meragut nyawa pengguna jalan raya ini seharusnya membuka mata pihak berwajib untuk mengkaji semula keadaan jalan di situ.
Katanya, pemasangan lampu jalan tidak cukup untuk mengelakkan berlaku kejadian kemalangan di situ. Maka, kajian mengenai keadaan jalan juga perlu dilakukan bagi menyelamatkan lebih ramai nyawa.- BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost