Saya Tahu Apa Yang Berlaku, Kita Jumpa Di Mahkamah – Shafie

SEMPORNA: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, semua perkara yang dilakukan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman terhadap harta Yayasan Sabah akan didedahkan di mahkamah untuk pengetahuan rakyat.

Ketua Menteri berkata, terdapat banyak maklumat tentang apa yang telah berlaku terhadap sejuta hektar tanah milik Yayasan Sabah yang akan didedahkan nanti.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bersedia bersemuka dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu di mahkamah demi kepentingan rakyat Sabah.

“Mereka telah keluarkan kenyataan, mereka akan saman kita RM1 billion, tidak apalah, kita jumpa di mahkamah. 

“Ini kepentingan rakyat kerana rakyat kena tahu apa sebenarnya berlaku dengan harta yang ada dimiliki oleh Yayasan Sabah. 

“Jadi saya tidak boleh dedahkan dan nyatakan, yang penting kepada kita, kita jumpa di mahkamah sahajalah, ini kepentingan rakyat.

“Jumpa di mahkamahlah saya tidak mahu cakap, kalau saya cakap, ini bukan tempatnya, tempatnya di mahkamah untuk kita nyatakan setiap perkara yang ada,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

MUSA AMAN

Kelmarin, Yayasan Sabah menyaman Musa untuk menuntut beliau membayar balik sebanyak RM872 juta wang milik agensi kerajaan itu yang hilang dipercayai akibat perjanjian pemabalakan haram semasa pentadbiran beliau.

Menurut writ saman itu, Musa telah menggunakan wang Yayasan Sabah untuk kepentingan peribadi dan diberikan kepada UMNO Sabah serta anak-anak lelakinya.

Yayasan Sabah yang ditubuhkan pada tahun 1966 mempunyai objektif utama untuk membangunkan sistem pendidikan Sabah dan menyediakan keperluan pelajaran untuk rakyat, namun misi itu tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

Beberapa pihak seperti aktivis Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Zainnal Ajamain turut tampil mengkritik Musa kerana menggunakan Yayasan Sabah untuk percaturan politik beliau.

Sementara itu semalam, Musa melalui peguamnya, menuntut Yayasan Sabah membayar RM1 bilion kepadanya dan membuat permohonan maaf kerana mendakwa sidang akhbar oleh agensi itu berkaitan saman yang dikemukakan menjejaskan imej beliau.

Mohd. Shafie berkata, saman yang dikemukakan itu adalah demi kepentingan rakyat dan Kerajaan Sabah mempunyai maklumat tentang apa yang telah dilakukan Musa.

“Banyak harta Yayasan Sabah luas tanah satu juta, saya ada maklumat tapi yalah dulu kita bukan kerajaan, sekarang kita kerajaan. 

“Banyak maklumat, jumpa di mahkamah, ini demi kepentingan rakyat, itu yang penting bagi kami,” tegasnya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *