Seorang Tahanan Lokap Di IPD Penampang Positif COVID-19

PENAMPANG: Seorang lelaki yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini, disahkan positif Covid-19, semalam.

Warga asing itu ditahan kerana kesalahan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Suspek berusia 26 tahun yang ditahan di Plaza Kivatu, di sini, dalam operasi Ops Dadu, 10 Jun lalu pada mulanya dihantar ke Klinik Kesihatan Penampang, untuk menjalani ujian swab Covid- 19.

Bagaimanapun, sebaik didapati positif Covid-19, suspek terus dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan sebaik dikesan positif, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus mengambil tindakan menghantar pasukan siasatan ke IPD untuk siasatan lanjut terhadap tahanan lain.

Katanya, pemeriksaan turut dilakukan terhadap tahanan lain dan anggota serta pegawai polis yang mempunyai kontak rapat atau secara langsung dengan suspek yang positif.

“Tahanan yang positif dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

“Pihak KKM juga kemudiannya menjalankan proses sanitasi atau nyahcemar di lokap IPD Penampang bagi memastikan tiada lagi penularan wabak berkenaan,” katanya.

Mohd Haris berkata, ini adalah kes pertama membabitkan orang kena tahan di lokap IPD Penampang yang dijangkiti Covid-19.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1851