Sabah Benarkan Akad Nikah, Solat Jumaat & Fardu Berjemaah

gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan untuk membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau serta aktiviti lain yang akan berkuat-kuasa Jumaat ini.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, kebenaran itu tertakluk kepada beberapa ketetapan yang ditentukan pihaknya.

“Kebenaran pelaksanaan solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat berdasarkan kapasiti sebenar keluasan masjid atau surau dan kemampuan ahli jawatankuasa mengambil kira pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menetapkan penjarakan sosial satu meter antara jemaah.

“Jemaah yang bergejala seperti demam, batuk, selsema, sesak nafas dan sakit tekak termasuk yang mengidap penyakit kronik, kanak-kanak yang berumur 15 tahun ke bawah serta warganegara asing tidak dibenarkan hadir dalam tempoh PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan).

“Setiap jemaah dikehendaki menjalani saringan suhu badan, pemakaian pelitup muka dan penggunaan cecair sanitasi tangan serta merekodkan kehadiran di dalam buku disediakan,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Bungsu berkata, jemaah juga diwajibkan untuk mematuhi SOP kesihatan yang sudah ditetapkan kerajaan.

“Jemaah diminta mengamalkan penjarakan sosial termasuk semasa solat tidak kurang satu meter, mengelakkan bersalaman dan memakai pelitup muka termasuk ketika menunaikan solat.

“Solat Jumaat harus dikerjakan di masjid atau surau yang dibenarkan solat Jumaat walaupun bilangan jemaah kurang 40 orang dalam tempoh PKPP ini.

“Walau bagaimanapun, kewajipan solat Jumaat gugur ke atas mereka yang tidak terpilih untuk hadir solat jumaat pada hari berkenaan dan mereka diwajibkan menunaikan solat Zuhur di rumah atau kediaman masing-masing,” katanya.

Bungsu menjelaskan ruang yang terhad dibuka di luar ruang masjid atau surau yang dibenarkan oleh pihak berkuasa untuk mereka yang ingin singgah solat seperti musafir dan sebagainya.

Dalam pada itu, beliau turut berkata antara aktiviti keagamaan yang dibenarkan pelaksanaannya di masjid atau surau adalah seperti majlis ilmu, akad nikah, ibadah korban dan pengurusan jenazah.- Harian Metro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1932