20 Rumah Musnah Terbakar, Lebih 100 Hilang Tempat Tinggal

Foto Drone Faezz.co

TAWAU: Sebanyak 20 buah rumah musnah dan lebih 100 penduduk hilang tempat tinggal dalam kebakaran di Lorong Haji Sundu, Batu 2 Jalan Apas, dekat sini, 12.20 tengah hari, tadi.

Kebakaran dipercayai bermula daripada salah sebuah rumah di situ sebelum merebak ke rumah berhampiran dan memusnahkan beberapa buah kenderaan serta sebuah kedai runcit.

Ketua Zon, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Sukur Hatta, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.28 tengah hari sebelum menghantar 40 anggota bersama dua jentera dan tiga utiliti ke lokasi.

“Sebaik sampai, kita dapati kebakaran membabitkan struktur rumah papan dengan api yang merebak pantas berikutan cuaca panas terik selain tiupan angin agak kencang.

“Anggota bomba juga menghadapi sedikit kesukaran disebabkan tekanan air rendah kerana kedudukan pili bomba dan sumber air yang jauh,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Bagaimanapun katanya, kebakaran berjaya dikawal kira-kira sejam kemudian dan operasi memadam kebakaran turut dibantu oleh penduduk.

“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang laporan membabitkan kecederaan atau kehilangan nyawa. Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

6044