Covid-19: Tawau Kini Zon Hijau

KOTA KINABALU: Tawau kini diisytiharkan zon hijau Covid-19 selepas tiada lagi kes aktif dikesan di daerah itu hari ini.

Sebelum ini, Tawau pernah merekodkan kes kematian pertama di Sabah melibatkan seorang lelaki berusia 58 tahun yang merupakan kluster jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling pada 29 Mac hingga 5 Mac lalu.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam akaun Facebooknya memaklumkan, Sabah merekodkan sifar kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kekal sebanyak 359 kes.

Menurut statistik terbaharu itu, hanya satu kes yang dilaporkan pulih hari ini dengan jumlah keseluruhan kes yang telah pulih daripada jangkitan Covid-19 sebanyak 346.

Sementara itu, hanya enam kes aktif di Sabah di mana Tuaran dan Penampang dua kes manakala Kota Kinabalu dan Pitas masing-masing merekodkan satu kes aktif.

Sabah juga merekodkan sifar kes kematian hari ini  menjadikan jumlah kes kematian kekal tujuh kes.

Secara keseluruhannya, Sabah kekal berada di tangga ketujuh bagi kes Covid-19 diikuti Kuala Lumpur (2417) , Selangor (1999) , Negeri Sembilan (993), Johor (684), Sarawak (560) dan  Pahang (365).

Pada hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaporkan sebanyak 11 kes baharu jangkitan Covid-19, daripada jumlah itu, 10 merupakan kes tempatan manakala satu kes melibatkan kes import menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 8,505.

Menurut KKM, tiada kes kematian dilaporkan hari ini di Malaysia.

Tambah KKM, sebanyak 333 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad ialah 7,733 orang.

Setakat ini, hanya empat kes dilaporkan dirawat di unit rawatan rapi (ICU). – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *