Suami Maut, Isteri, Anak & Cucu Selamat Kereta Jatuh Longkang

Kenderaan dinaiki empat sekeluarga yang terbabas dan terjatuh ke dalam longkang dinaiki air di Jalan Panglima Banting, Penampang.

PENAMPANG: Seorang lelaki lemas manakala isteri, anak dan cucunya terselamat selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh ke dalam longkang di Jalan Panglima Banting, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, empat sekeluarga terbabit yang menaiki Toyota Land Cruiser dikatakan bergerak dari arah Donggongon menuju ke Putra Pogun.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa berusia 62 tahun itu terbabas lalu terjatuh ke dalam longkang yang dinaiki air.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata mangsa yang lemas dipercayai gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas ke kiri jalan.

“Tiga penumpang iaitu isteri, anak perempuan dan cucu perempuannya berusia setahun berjaya menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, mangsa dikeluarkan daripada kenderaan dengan bantuan pasukan bomba.

“Pemandu yang dikhuatiri lemas disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Queen Elizabeth (HQE I) yang tiba di lokasi kejadian.

“Ketika kejadian, keadaan jalan dan cuaca amat baik. Polis juga meminta saksi kejadian supaya tampil untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1381