SPRM Sila Siasat Pemberian Tender Terus Projek Di Tenom

KOTA KINABALU: Pemuda Amanah dan Pemuda Pakatan Harapan (PH) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan berhubung pembukaan semula tender Projek Membina Jalan Ulu Tomani di Tenom.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Nasional, Mohd. Khairuddin Daud berkata, desakan dibuat selepas tersebar sekeping memo dikeluarkan Ketua Setiausaha kementerian itu pada 14 Mei lalu yang mencadangkan projek itu dibuat secara lantikan terus.

Katanya, projek itu sebenarnya tekah diluluskan dan disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“Pertama, kami buat laporan kerana wujud persoalan mengapa menteri mengarahkan  KSU membuat tender terhad sedangkan Kementerian Kewangan sebelum ini telah melaksanakan tender terbuka, malah juga berlaku pengurangan kos projek hasil tender terbuka iaitu sebanyak RM24 juta.

“Kedua, kami minta SPRM untuk siasat jika ada unsur-unsur suapan seperti penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya dalam hal ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, beliau bersama pimpinan Pemuda PH membuat laporan di ibu pejabat SPRM berhubung pengeluaran memo berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau turut meluahkan perasaan bimbang susulan tekanan-tekanan politik yang dilontarkan oleh Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

“Kami juga bimbang kerana baru-baru ini wujud tekanan-tekanan politik misalnya kes Datuk Peter Anthony dibuka semula termasuklah rancangan kotor untuk membeli ahli-ahli Parlimen di Sabah,” jelasnya.

Menurutnya, isu projek itu mungkin berkait rapat dengan rancangan kotor PN untuk menjatuhkan pihak pembangkang.

Pada 6 Februari lalu, Kementerian Kewangan telah bersetuju melantik kontraktor yang berjaya dalam tender terbuka bagi projek tersebut dengan nilai kos sebanyak RM154 juta.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *