Mohamaddin Dipujuk Lompat Parti Oleh Anifah

Mohamaddin Ketapi

KUALA LUMPUR: Bekas menteri, Datuk Mohamaddin Ketapi masih kekal bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) walaupun dipujuk tiga kali untuk ‘lompat parti’ oleh Datuk Seri Anifah Aman.

Itu dakwaan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

“Mohamaddin maklum kepada saya sudah dihubungi tiga kali oleh Anifah pujuk berbagai perkara yang sekiranya nak memasuki parti perjuangan mereka.

“Saya tanya (Mohamaddin) you sure (awak pasti)….Mohamaddin kata saya tahu suara dia, saya tahu nombor telefon dia,” katanya dalam sebaran audio tular dipercayai dalam satu sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

Bagaimanapun difahamkan Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu itu tidak ada bersamanya ketika sidang media berkenaan kerana ada urusan di Kuala Lumpur.

Namun Mohd Shafie memaklumkan pendirian Mohamaddin untuk kekal bersama Warisan yang dipimpinnya.

“Mohamaddin berkata apa juga keputusan beliau tetap akan mempertahankan, pendirian beliau cukup jelas,” ujarnya.

Beliau juga menggambarkan perlunya usaha ‘membeli’ wakil rakyat itu turut disiasat pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mohd Shafie juga mengaitkan perkara yang sama sambil mengulas mengenai pembebasan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan tekanan yang dihadapi pihak pembangkang pada zaman kerajaan sekarang.

“Saya harap agensi-agensi berkaitan seperti SPRM, ambil tindakan. Tawar jawatan, imbuhan wang ini rasuh untuk dapatkan sokongan,” katanya.- MalaysiaGazette

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *