KOTA KINABALU: Selepas terkandas hampir tiga bulan di Filipina akibat pelaksanaan sekatan pergerakan (lockdown) di Filipina, akhirnya 85 orang rakyat Malaysia dan pasangan mereka dapat kembali ke Sabah pada 4.55 petang semalam.
Usaha membawa pulang mereka dilaksana Kementerian Luar Negeri (KLN), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Negeri Sabah dan Pusat Kawalan Operasi Kawalan Bencana (PKOB) Negeri Sabah.
Pengarah MKN Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua mereka terkandas di Filipina apabila negara berkenaan menguatkuasakan sepenuhnya dasar ‘lockdown’ termasuk menutup pintu keluar masuk negara berikutan ancaman wabak Covid-19 sejak 15 Mac yang lalu.
Beliau berkata, demi keselamatan mereka yang terkandas, kerajaan Malaysia melalui KLN telah berunding dengan Kerajaan Filipina untuk membawa mereka keluar dari negara berkenaan.
“Kerajaan Filipina akhirnya telah bersetuju untuk membenarkan eksesais repatriasi ini dilaksanakan pada 11 Jun dengan menggunakan pesawat C130 milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Pesawat berlepas dari Wilayah Persekutuan Labuan ke Zamboanga, Filipina dan kembali ke Kota Kinabalu, Sabah.
“Setibanya di Kota Kinabalu, mereka adalah tertakluk kepada dasar semasa kerajaan negeri di mana mereka akan diarah kuarantin wajib di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh PKOB Negeri.
“Ini bagi memudahkan pemantauan kesihatan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan untuk mengelakkan penularan jangkitan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Katanya, kesemua dokumen mereka telah melalui tapisan keselamatan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).- BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost