Jangan Ganggu Sabah Atau Kami Lawan, Shafie Beritahu PN

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal (kanan) bercakap kepada media selepas bermesyuarat denga ahli Parlimen dan Adun di Kota Kinabalu hari semalam.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal menunjukkan sikap melawan hari ini dengan mengeluarkan amaran amaran keras terhadap kerajaan Perikatan nasional (PN) susulan dakwaan tekanan politik ke atas wakil rakyat beliau.

Shafie yang kelihatan marah bercakap tentang kesediaannya untuk tidak tunduk dalam menghadapi “rancangan besar” PN untuk meyakinkan ahli Parlimen dan Adun negeri itu supaya meninggalkan gabungan kerajaan negeri terdiri daripada Warisan-DAP-PKR-Upko dan menyertainya.

Beliau berkata, rancangan besar itu melibatkan janji berkaitan kedudukan dan perolehan wang sekiranya mereka menyertai pesaing politik tersebut.

Presiden Warisan itu mendakwa, seorang ahli Parlimen beliau, iaitu Mohammadin Ketapi (Silam) dihubungi oleh bekas menteri pusat, Anifah Aman 3 kali supaya meninggalkan partinya.

Anifah kini berusaha menggabungkan parti tempatan ke dalam parti Gagasan Rakyat Sabah yang bakal didaftarkan dalam masa terdekat.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan ahli Parlimen dan Adun Sabah berkait ketidaktentuan politik itu, Shafie berkata, Mohammadin yang kini berada di Kuala Lumpur, menolak pelawaan tersebut.

“Tetapi kita tahu, sebaik sahaja kita “tidak”, maka akan bermulalah intimidasi politik,” kata ahli Parlimen Semporna itu.

Shafie juga mempersoalkan siasatan pengubahan wang ke atas naib presiden Warisan Peter Anthony, yang juga menteri pembangunan infrastruktur negeri, oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan.

“Kenapa sekarang? Tidak semudah itu, kami akan lawan balik. Ini negeri dan negara kita, kita ada hak.

“Jangan cuba dan tekan kami. Kita ada persidangan Parlimen (Julai ini) dan saya mahu ingatkan semua bahawa saya tidak akan berdiam diri.

“Ingat pilihan raya lepas apabila mereka mengintimidasi kita? Saya bercakap di Parlimen. Biar semua rakyat Malaysia dengar – apakah ini kerajaan yang kita mahu? Apakah ini caranya kita mentadbir negara. Ini sangat tidak patut.

“Jangan ganggu negeri Sabah, jangan ganggu rakyat Sabah. Bila kamu ganggu, kami akan lawan balik,” katanya.

Pada masa sama, Adun Senallang itu mengulangi rasa terkejut beliau berhubung masa siasatan kes Anthony dijalankan dengan pembebasan bekas ketua menteri Musa Aman daripada 46 pertuduhan pengubahan wang dan rasuah.

“Bagaimana penyiasatan kes Jabatan Air Sabah di mana berjuta-juta wang ditemui?”

Mengenai mesyuarat hari ini, Shafie berkata, kebanyakan daripada 47 wakil rakyat, termasuk 4 Adun dilantik, yang hadir mengikrarkan kesetiaan kepada pentadbiran negeri dengan memberi keutamaan pada pembangunan Sabah.

Selai Mohammadin, turut tidak hadir ialah ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman, Adun Upko James Ratib (Sugut), Limus Jury (Kuala Penyu) dan wakil DAP Calvin Chong (Elopura).

Menurut Shafie, Mohammadin tidak hadir kerana beliau berpindah rumah di Kuala Lumpur, sementara yang lain meminta maaf kerana mempunyai urusan penting lain, walaupun semua mereka menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Shafie berharap SPRM tidak berat sebelah dalam siasatannya, sebaliknya mengambil langkah untuk meneliti “usaha” untuk menarik wakilnya supaya berpaling arah.

“Bagaimana anda boleh merasuah orang lain dengan jawatan dan suapan lain? Ini tidak harus berlaku,” katanya dengan mendakwa ahli Parlimen lain daripada gabungan kerajaan negeri juga turut dihubungi.

“Saya tidak menjanjikan (presiden Upko) Wilfred Madius Tangau atau Ewon Benedick jawatan sebelum (mereka beralih sokongan daripada Barisan Nasional kepada Warisan) walaupun saya melantik mereka sebagai menteri selepas itu.”

Katanya, beliau tidak menjanjikan ganjaran kepada Adun lain yang menyertai Warisan dari parti lain.

Justeru katanya, semua pemimpin masih bersama beliau, termasuk 8 ahli Parlimen Warisan, 3 DAP, 2 PKR dan seorang dari Upko, telah berikrar untuk berdiri teguh di belakang pemimpin sedia ada.

“Kita ada nilai dan maruah kita sendiri.

“Kita bersatu. Inilah masanya rakyat Sabah berdiri teguh dan tidak digunakan sebagai alat,” katanya.

Katanya, beliau memberitahu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa mereka tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan pentadbiran di Putrajaya berdasarkan hubungan antara kerajaan.

“Tetapi dari segi politik, anda urus parti anda, saya urus parti saya,” katanya.

SumbeR: Free Malaysia Today

kuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *