Labuan Ke Sabah Tidak Perlu Ujian Covid-19

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah yang berada di Labuan kini boleh memasuki negeri ini tanpa menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam satu kenyataan hari ini berkata, kelonggaran terbabit diberikan dengan ketetapan tertentu.

“Pada hari ini, kerajaan negeri memutuskan untuk memberi kelonggaran perjalanan masuk ke Sabah sama ada melalui udara dan laut oleh penjawat awam, pekerja sektor swasta, penduduk Wilayah Persekutuan Labuan dan rakyat Sabah yang berada di Labuan dengan mengecualikan mereka menjalani ujian Covid-19.

“Walau bagaimanapun,  bagi mereka yang bukan rakyat Sabah dan bukan warganegara Malaysia diwajibkan untuk mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri seperti mengemukakan pas kerja dan pas-pas lain yang masih sah setibanya di Sabah,”kata kenyataan itu.

Terdahulu, arahan kuarantin selama dua minggu sebelum ini ditarik balik, namun setiap individu  diwajibkan untuk menjalani ujian Covid-19 tiga hari sebelum masuk ke Sabah.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2002