Anggota Polis & Isteri Antara Enam Maut Kemalangan Ngeri Di Jalan Lahad Datu – Tungku

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Lahad Datu – Tungku, berhampiran Kampung Membatu, Lahad Datu. – Foto ihsan PDRM

LAHAD DATU: Sungguh menyayat hati. Itulah yang boleh digambarkan keadaan beberapa mangsa yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Jalan Lahad Datu – Tungku, berhampiran Kampung Membatu, di sini, pagi tadi.

Lebih menyayat hati apabila seorang daripada enam mangsa yang terkorban adalah anggota polis yang baru melapor diri di Balai Polis Cenderawasih, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, pada 2 Jun lalu selepas dinaikkan pangkat Sarjan.

Anggota polis yang terkorban iaitu Sarjan Lizam Ibrahim, 50, (pemandu Isuzu D Max), dan turut terkorban isterinya Suhana Wahap, 39.

Mangsa lain, Tajuddin Mansur, 64, (pemandu lori, Mohamad Faddhil Abd Jaid, 36, (pemandu Proton Saga) dan dua penumpang dalam kereta berkenaan iaitu Hatijah Jakaria, 35, Mohd Jamil Janil, 22.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata kemalangan ngeri itu dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati, dua kenderaan iaitu pacuan empat roda jenis Isuzu D Max dan Proton Saga dipercayai bergerak dari arah Tungku menghala ke Lahad Datu.

“Sebuah lagi lori yang membawa muatan minyak diesel pula bergerak dari arah Lahad Datu menghala ke Tungku.

“Semua kenderaan dipercayai bertembung di tempat kejadian sehingga menyebabkan lori terbabas ke gaung sebelah kanan, manakala dua lagi kenderaan remuk di atas jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Katanya, semua mangsa dalam kemalangan ini berusia antara 22 hingga 64 tahun.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di kawasan selekoh jalan dan ketika kejadian hujan dipercayai menyebabkan jalan licin.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *