“Saya Tidak Gentar Dengan Ugutan Bunuh Ini” – Verdon

KOTA KINABALU: “Saya tidak gentar dengan ugutan bunuh ini, malah tidak sesekali melemahkan semangat saya untuk terus berjuang memartabatkan orang asal Sabah demi masa depan cucu cicit di tanah tumpah darah sendiri”.

Demikian tegas aktivis Gerakan Solidariti Orang Asal Sabah, Datuk Verdon Bahanda selepas mendakwa menerima ugutan bunuh menerusi laman Facebook, beberapa hari lalu.

Facebook menggunakan akaun “Morres Malampo” itu memaparkan gambar sepucuk pistol dan peluru serta tertera tulisan “Verdon halal dibunuh”.

Mengulas lanjut, Verdon berkata, walaupun tidak mempunyai bukti jelas, namun beliau percaya kenyataan itu ditujukan kepadanya ekoran beberapa kempen yang dianjurkannya sebelum ini.

Katanya, semua kempen yang dianjurkan menerusi laman facebook sebelum ini amat jelas mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pihak berkaitan.

“Sejak akhir-akhir ini, saya banyak mengeluarkan kenyataan mengenai isu PATI antaranya meminta semua orang asal supaya bersatu menjaga hak rakyat Sabah.

“Ini termasuk kempen untuk memboikot barangan jualan atau perniagaan yang dijalankan oleh golongan pendatang asing,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Verdon berkata, selain itu, beliau turut meminta rakyat Malaysia supaya membuat laporan polis sekiranya mempunyai maklumat mengenai kehadiran PATI di kawasan mereka.

“Saya tidak gentar dengan ugutan itu malah menjadikan saya lebih bersemangat dan teruja untuk meneruskan perjuangan demi orang asal Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima laporan mengenai ugutan itu pada jam 4.02 petang, semalam.

Katanya, polis sudah mengambil kenyataan daripada mangsa dan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menyiasat perkara berkenaan.

“Polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Habibi berkata, pihaknya tidak mempunyai kepastian sama ada ia dikeluarkan oleh individu sebenar atau hanya menggunakan identiti palsu bagi mengeluarkan kenyataan berkenaan.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *